Pelaburan JDT dalam e-sukan berbaloi, GBX Esports Team lakar sejarah dalam FIFAe Club World Cup

3,934

Kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 baru sahaja melabuhkan tirainya semalam dengan wakil tunggal negara, GBX Esports Team menamatkan perjalanan mereka di pusingan 16 terakhir.

Walaupun tidak berjaya mara lebih jauh, kejayaan menempa nama dalam kalangan 16 pasukan terbaik dunia adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan dan membuktikan bahawa negara mempunyai potensi dalam e-sukan terutama permainan FIFA.


Tambahan pula, pasukan yang diwakili oleh Luqman Haziq dan Ahmad Akmal itu berjaya menduduki tangga kedua kumpulan D walaupun terpaksa berdepan lima lagi pasukan yang mempunyai ranking jauh lebih tinggi dalam penampilan pertama mereka di pentas itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu, kejayaan pasukan GBX turut dibantu oleh gergasi Liga Super iaitu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merupakan penaja mereka.

Ini adalah satu perkembangan positif buat arena e-sukan negara apabila kelab bola sepak turut melibatkan diri dalam pembangunan e-sukan.

Ia secara tidak langsung dapat menaikkan lagi reputasi kelab itu dalam arena e-sukan tempatan dan juga antarabangsa.

Perkara ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dan telah dilakukan oleh banyak kelab bola sepak di luar negara.

Dalam kejohanan yang dilangsungkan di Copenhagen, Denmark itu juga, terdapat wakil dari kelab ternama Bundesliga seperti Shalke 04 dan FC Koln.

Di peringkat Asia dan ASEAN juga sudah banyak kelab bola sepak yang mempunyai pasukan e-sukan sendiri seperti Kashima Antlers (Jepun), Jeju United (Korea Selatan) Al Ittihad (Arab Saudi) dan FC Chonburi (Thailand).

Diharapkan kejayaan GBX menempatkan diri dalam kalangan pasukan terbaik dunia dapat membuka mata lebih banyak kelab tempatan lain untuk melabur dalam e-sukan seperti yang dilakukan oleh JDT.

Dengan penglibatan kelab-kelab ini, ia dapat menaikkan lagi tahap e-sukan tempatan dan juga mencungkil lebih banyak bakat yang mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Bukan itu saja, ia juga adalah salah satu cabang yang mampu menjana kewangan pasukan sekiranya ia dilakukan dengan betul.