Addy Shairullyzam, Gerard Casas calon hangat gantikan Chiew Chun Yong kendali skuad futsal negara

756

Selepas kegagalan pasukan futsal kebangsaan di Sukan SEA Hanoi tempoh hari, ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong sukar dikesan seolah-olah beliau sengaja menghilangkan diri.

Pasukan negara menamatkan saingan di peringkat kumpulan selepas menduduki tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan.


Ia jauh daripada sasaran peribadi Chun Yong iaitu untuk meraih pingat perak bagi mengulangi pencapaian Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2018.

Sumber dalaman memberitahu Harimau Malaya, nasib beliau kini sudah berada di hujung tanduk dan akan digantikan bila-bila masa sahaja.

Pihak pengurusan juga dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi skuad futsal negara selepas turut tersingkir di peringkat kumpulan pada kejohanan Piala AFF April lalu.

Beberapa pemain kebangsaan juga memberitahu mereka tidak pasti sama ada Chun Yong akan terus kekal mengendalikan mereka.

Menurut sumber itu juga, dua nama kini sedang dipertimbangkan untuk mengambil alih tugas Chun Yong iaitu ketua jurulatih Selangor Mac, Addy Shairullyzam dan ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas.

Difahamkan, Addy kini sedang ‘direhatkan’ selepas tamatnya aksi suku akhir Piala Malaysia Futsal tempoh hari.

Ketiadaan Addy mengendalikan pasukan pada peringkat separuh akhir dan akhir Piala Malaysia Futsal menjadi tanda tanya peminat pasukan itu dan menguatkan lagi spekulasi beliau akan mengisi jawatan ketua jurulatih pasukan futsal negara.

Selangor Mac kini dikendalikan oleh pemangku jurulatih iaitu Ahmad Khairi Aswad Ishak.

Selain itu, Casas yang berjaya membawa Pahang Rangers ke peringkat akhir Piala Malaysia Futsal juga merupakan calon hangat berdasarkan prestasinya membimbing pasukan itu.

Beliau juga sudah mengenali dan biasa dengan pemain-pemain kebangsaan yang berada di Pahang Rangers, justeru dianggap sebagai salah seorang calon yang layak.

Skuad futsal negara akan menghadapi kejohanan Piala AFF 2023 yang dijangka akan dilangsungkan awal tahun depan.

Jadi kedudukan ketua jurulatih negara harus diselesaikan secepat mungkin oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya persediaan para pemain tidak terganggu.

Sesiapa pun yang terpilih mengendalikan skuad kebangsaan, cabaran pasti menanti bagi mengembalikan maruah negara yang tercalar dalam futsal.