Kok Keng Lin sifatkan perasaan gemuruh buatkan pemain lambat sesuaikan diri atas padang
Ketua jurulatih skuad B-18 wanita kebangsaan, Kok Keng Lin menyifatkan perasaan gemuruh pada para pemain menyebabkan mereka lambat untuk membiasakan diri ketika perlawanan pembukaan kumpulan B Piala AFF Wanita B-18 menentang Myanmar semalam.
Menurutnya, perasaan itu tetap dapat dilihat dalam diri anak buahnya ketika separuh masa kedua menyebabkan mereka dibolosi dua gol tanpa balas.
“Para pemain rasa gementar sebelum perlawanan berlangsung dan mereka lambat untuk menyesuaikan diri.
Walaupun kita tidak membenarkan Myanmar menjaringkan gol pada separuh masa pertama tetapi mereka berasa gemuruh di atas padang,”
katanya.
Beliau berkata, pertahanan tengah, Fatin Alissa mengalami kecederaan pada perlawanan tersebut dan pihaknya kini sedang memantau keadaannya sama ada bersedia untuk diturunkan pada perlawanan seterusnya.
Tambahnya, beliau akan menggunakan taktikal bertahan dan menyerang balas ketika bertemu Australia selepas ini.
“Saya ada menyaksikan perlawanan Australia menentang Filipina (menang 4-0) dan kita harus akui yang mereka mempunyai pemain yang lebih baik dari segi taktikal dan teknikal.
Jadi kami harus bertahan terlebih dahulu dan barulah melancarkan serangan balas pada pertemuan nanti.”
Pada perlawanan menentang Myanmar semalam, Malaysia berjaya mengekang asakan pihak lawan pada separuh masa pertama untuk mengikat kedudukan 0-0.
Namun, benteng negara berjaya ditembusi dua kali oleh pemain Myanmar pada separuh masa kedua menerusi jaringan Su Myat Noe pada minit ke -59 dan May Thet Mon Myint pada minit ke-81.
Perlawanan antara Malaysia dan Australia dijadualkan berlangsung pada hari Rabu di Stadium Atletik Jakabaring, Palembang.