Peminat Urawa Red Diamonds berang harga tiket mahal, JDT di landasan terbaik buat kejutan di pentas ACL 2022

12,528

Kelab elit Jepun, Urawa Red Diamonds tewas di tangan pasukan gergasi bola sepak dunia, Paris Saint-Germain 3-0 pada aksi persahabatan pra-musim tempoh hari.

Apa yang menarik, aksi persahabatan ini dicemarkan dengan insiden protes yang dilakukan oleh penyokong setia pasukan Urawa yang meluahkan kekecewaan terhadap harga penjualan tiket yang cukup tinggi.


Tiket perlawanan menentang juara Ligue 1 Perancis itu dijual pada harga ¥6000 (RM195.95) dilihat jauh lebih tinggi berbanding aksi persahabatan bertemu pasukan Bayern Munich yang dijual pada harga ¥3000 (RM97.98).  

Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan segeilintir peminat yang membuat perbandingan di antara pasukan PSG yang belum pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Bayern yang telah memenangi kejohanan itu sebanyak enam kali.

Pada masa yang sama, perlawanan ini akan menjadi medan persiapan terbaik kepada Urawa yang akan menjadi lawan seterusnya untuk wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pusingan 16 terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Berdasarkan prestasi semasa yang kurang memberangsangkan oleh pasukan Urawa, JDT dilihat mempunyai kelebihan yang besar untuk melakukan kejutan walaupun bermain di tempat lawan.

Urawa gagal mempamerkan aksi cemerlang di saingan Liga J1 selepas hanya mencatatkan enam kemenangan dari 22 perlawanan untuk berada di tangga kelapan.

Tambahan pula, Urawa turut gagal mengekalkan kejuaraan Emperor’s Cup musim ini selepas ditunjukkan jalan keluar oleh sebuah pasukan bukan pilihan dari Liga J2, Thespakusatsu Gunma FC.

Berbeza dengan JDT yang kini berada di kedudukan terbaik selaku pendahulu Liga Super ditambah dengan kejayaan mara ke saingan separuh akhir Piala FA selepas berjaya menundukkan pasukan Melaka United.

Gandingan penyerang berbisa, Fernando Forestieri dan Bergson da Silva akan menjadi taruhan utama ketua jurulatih, Benjamin Mora untuk menembusi barisan pertahanan pasukan Jepun tersebut.

Namun, Urawa tetap mempunyai kelebihan yang besar selepas gelanggang keramat mereka, Stadium Saitama dipilih sebagai lokasi perlawanan.  

Ini kerana, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memilih Jepun sebagai tuan rumah berpusat untuk menganjurkan saingan kalah mati ACL Zon Timur.

Kehadiran pemain yang pernah beraksi bersama kelab Eropah seperti Hiroki Sakai dan Alexander Scholz akan menjadi senjata utama yang mampu memusnahkan harapan JDT untuk menakluk kejohanan tersebut.

Mora yang tidak kelihatan sejak kebelakangan ini, perlu memanfaatkan tempoh persediaan berbaki untuk mencari solusi terbaik dalam menyiapkan kondisi fizikal dan mental anak buahnya untuk cabaran terbesar pasukan setakat ini.