Malaysia dijemput sertai King’s Cup, satu pengiktirafan terhadap peningkatan bola sepak negara
Setelah dua tahun tidak dianjurkan akibat Covid-19, Thailand akhirnya akan menganjurkan kembali kejohanan King’s Cup pada September ini.
Seperti Pesta Bola Merdeka, kejohanan itu ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak negara itu kerana ia mempunyai sejarah yang tersendiri dan merupakan salah satu kejohanan bola sepak jemputan terbesar di rantau ini.
Nama-nama besar dalam dunia bola sepak seperti Robert Lewandowski, Pierre-Emerick Aubameyang, Peter Schmeichel, Henrik Larsson, Ronaldinho, Cafu, Roberto Carlos and Rivaldo juga pernah beraksi di kejohanan itu.
Untuk edisi kali ini, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dilaporkan akan menjemput Harimau Malaya untuk turut sama beraksi dalam kejohanan empat penjuru itu.
Badan itu juga dilaporkan akan menjemput sebuah pasukan lain dari Asia dan juga dari Amerika Selatan yang mempunyai ranking yang lebih tinggi dari Malaysia, di mana pasukan tersebut mungkin adalah pasukan yang akan bermain di Piala Dunia 2022 Qatar.
Malaysia adalah sebuah pasukan yang tidak asing dalam kejohanan itu dan pernah muncul juara dalam empat edisi iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.
Setelah sekian lama tidak beraksi di kejohanan itu, jemputan ini dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap peningkatan mendadak bola sepak Malaysia sejak kebelakangan ini.
Selepas Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit dan kelab-kelab tempatan menampilkan aksi yang baik di kejohanan di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), bola sepak tanah air semakin mendapat perhatian di rantau Asia.
Selain itu, kejayaan pasukan B-19 negara menjadi juara di kejohanan Piala AFF B-19 baru-baru ini juga semakin membuka mata pihak luar.
Ini membuktikan bahawa keputusan menjemput Malaysia adalah satu tindakan yang tepat berdasarkan prestasi semasa.
Difahamkan ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking sendiri yang mahu Malaysia dijemput untuk menyertai kejohanan itu.
Ini juga adalah medan yang baik buat ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi Piala Asia tahun depan.
Dengan pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan itu berada di ranking yang lebih tinggi, ia adalah satu ujian yang baik buat para pemain negara.
Pan-gon juga boleh menjadikan kejohanan itu sebagai medan untuk melihat kelemahan pasukan dan memperbaiki apa yang patut sebelum menghadapi kejohanan lain.