Dari kejohanan amatur ke profesional, mutu pengadilan bola sepak tetap menghampakan

383

Belum reda lagi kontroversi melibatkan pengadil dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia hujung minggu lalu, satu insiden lain berlaku ketika perlawanan bola sepak Kejohanan Bola Sepak Pantai 2022 baru-baru ini.

Ketika perlawanan antara Kuala Langat Motor (KLM) dan Kota Damansara UP (KDUP) yang berlangsung di Pantai Morib itu berlangsung, berlaku kekecohan selepas pemain KLM tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.


Ia menyebabkan beliau diserang oleh para pemain KLM sehinggakan salah seorang hampir-hampir melepaskan tumbukan terhadapnya.

Dari peringkat amatur sehingga ke profesional, kontroversi melibatkan keputusan pengadil tetap timbul menunjukkan betapa lemahnya mutu pengadilan di negara ini.

Pada musim ini sahaja, sudah beberapa kali keputusan pengadil dipertikaikan dalam saingan Liga Malaysia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga sebelum ini sudah berulang kali mengakui terdapat kesilapan pengadil dalam beberapa perlawanan tetapi ia masih terus berlaku.

Namun adalah tidak adil untuk meletakkan segala kesalahan di bahu pengadi semata-mata kerana status mereka hanyalah pengadil amatur.

Untuk membandingkan mereka dengan pengadil di liga-liga besar luar negara adalah tidak wajar kerana mereka tidak dilatih dan tidak mendapatkan kursus seperti pengadil profesional.

Selain itu, ketiadaan teknologi untuk membantu mengurangkan kesilapan pengadil seperti teknologi garisan gol dan video bantuan pengadil (VAR) juga menyukarkan untuk membuat keputusan yang tepat.

Jadi badan bertanggungjawab seperti FAM seharusnya yang melakukan sesuatu bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan di negara ini.

Tahap pengadil di negara ini seharusnya dinaikkan kepada profesional dan mereka harus dihantar menjalani latihan dan kursus profesional bagi meningkatkan kemahiran.

Liga Malaysia sudah hampir 30 tahun bertukar status profesional tetapi mutu pengadilan masih di tahap amatur.

Dengan penstukturan liga bakal dilaksanakan bermula musim depan, mutu pengadilan juga diharap mampu berubah ke arah yang lebih baik seiring dengan reputasi Liga Malaysia yang semakin meningkat.