Kelantan FC di landasan tepat jadi kelab bola sepak Malaysia pertama disenarai di Bursa Malaysia

4,604

Setelah hampir dua tahun menjadi pemilik kelab bola sepak TRW Kelantan FC, segala pengorbanan dan pelaburan yang dilakukan oleh usahawan terkemuka, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham akhirnya mula menampakkan hasil sedikit demi sedikit.

Menurut Zamsaham, yang berasal dari Johor, Kelantan bakal mencatatkan keuntungan buat kali pertama pada bulan ini selepas jumlah jualan tiket dan penajaan melepasi kos operasi kelab.


Beliau juga memasang impian tinggi untuk mencontohi kelab Indonesia, Bali United yang berjaya menawarkan Initial Public Offering (IPO) selepas lima tahun dibeli oleh Peter Hainuri.

Imbas kembali pada tahun 2020 selepas beliau membeli Kelantan dengan harga RM6.8 juta, Zamsaham pernah menyuarakan hasrat untuk melihat Kelantan berada di pasaran saham dalam tempoh lima tahun dan kini pelan itu dilihat sedang berada di landasan yang tepat dan juga semakin hampir.

Sekiranya ia berlaku, ini bermakna Kelantan akan menjadi kelab bola sepak pertama di Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia – jauh lebih cepat daripada semua kelab di Liga Super, memandangkan buat masa sekarang, Kelantan hanya berada di Liga Perdana.

Ini sudah tentu satu anjakan paradigma buat bola sepak tempatan dan menjadikan kewangan pasukan Kelantan lebih kukuh.

Kelantan juga mungkin dilihat bukan sekadar sebuah kelab bola sepak tetapi juga sebagai sebuah entiti bisnes, oleh itu pelabur pastinya akan lebih tertarik untuk melabur dalam pasukan itu.

Kelab-kelab lain juga akan terdetik untuk mencontohi apa yang dilakukan oleh Zamsaham dan siapa tahu, mungkin satu hari nanti pasukan-pasukan di negara ini tidak lagi berdepan isu kewangan.

Walaupun Kelantan merupakan sebuah pasukan Liga Perdana, ia amat beruntung kerana memiliki seorang pemilik yang mempunyai visi dan matlamat yang tinggi.

Mengenai penstukturan semula Liga Malaysia musim depan, Zamsaham juga sebelum ini menyatakan hasratnya bagi memastikan Kelantan terus bersaing tanpa menjejaskan kantung pasukan.

Beliau tidak berhasrat untuk membawa masuk pemain import yang mempunyai reputasi tinggi dengan harga yang mahal, tetapi menyasarkan untuk mengambil import muda dari Thailand dan negara-negara Asia Tenggara lain yang boleh didapati dengan harga di bawah USD2,000 (RM 8,920).

Apa yang dilakukan Zamsaham ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam kelab bola sepak tidak akan menampakkan hasil atau kejayaan dalam masa yang singkat dan kesabaran serta pengorbanan amatlah diperlukan.

Lihat saja berapa banyak pemilik atau penaja yang menarik diri dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Ia harus membuka mata pemilik-pemilik lain atau mereka yang berhasrat untuk melabur dalam kelab bola sepak.