Telekom Malaysia akan kekal sebagai penyiar rasmi Liga Malaysia 2023

1,090

Dengan penstrukturan Liga Malaysia yang baru pada musim hadapan, pelbagai persoalan yang timbul dan salah satunya adalah adakah penyiar rasmi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan akan turut bertukar.

Persoalan itu akhirnya terjawab juga apabila Malaysian Football League (MFL) telah mengesahkan bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan Telekom Malaysia (Unifi) sebagai penyiar rasmi perlawanan Liga Malaysia.


“Kita kini sedang dalam proses rundingan semula bersama pihak TM untuk terus kekal bersama kami kerana jatuh bangun bola sepak kita, mereka tetap bersama sejak bertahun lamanya.

Saya terima kasih kepada TM yang sentiasa menggunakan bola sepak sebagai agenda korporat mereka,”

ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam kepada Harimau Malaya.

Menurut Stuart, keputusan rundingan itu hanya akan diketahui pada penghujung Ogos atau bulan September depan.

Terdahulu, saingan Liga Malaysia pada musim 2022 telah menyaksikan kerjasama antara TM, MFL dan RTM di mana RTM telah dijadikan sebagai rakan penyiar Unifi.

Selain peminat dapat menonton bola sepak di kaca televisyen, mereka juga boleh menonton setiap perlawanan secara langsung di saluran YouTube.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pihak MFL sentiasa bertemu dengan pihak penaja bagi memastikan mereka mencapai ROI (Return on Investment).

Pada masa sama, Stuart turut teruja memberitahu bahawa kini lebih banyak syarikat yang sebelum ini tidak pernah ada kaitan dengan bola sepak telah tampil sebagai sebagai penaja baru Liga Malaysia.

Walaupun ia perkara yang positif, namun pihaknya tidak boleh ambil mudah sebaliknya mereka perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi memastikan penaja kekal lama bersama mereka.