Pasukan Liga Malaysia boleh contohi Persija Jakarta, miliki pemain muda yang berkualiti

450

Pasukan ternama Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta FC telah melakukan perbelanjaan besar pada jendela perpindahan baru-baru ini.

Kemasukan pemain dari kelab Eropah seperti Hanno Behrens dan Abdulla Yusuf Helal akan terus memperkuatkan pasukan ini tatkala mereka ingin merampas takhta Liga 1 dari penyandang juara, Bali United FC.


Namun di sebalik perpindahan besar yang berlaku, pasukan ini masih mencatatkan purata umur pemain yang rendah jika dibandingkan dengan pasukan yang lain.

Kualiti pemain ini dapat dilihat menerusi keputusan pada aksi perlawanan persahabatan sebelum ini menentang gergasi Thailand, Chonburi FC yang berakhir dengan keputusan seri.

Ketua jurulatih, Thomas Doll telah membariskan beberapa orang pemain berusia 19 tahun seperti penjaga gol, Cahya Supriadi pada perlawanan tersebut.

Lebih menarik, pemain berusia 22 tahun, Taufik Hidayat telah menempa nama selaku salah seorang penjaring pada perlawanan tersebut.

Meskipun tewas di tangan Bali United pada perlawanan pembukaan liga, kesemua pemain yang dipilih oleh Doll berjaya mempamerkan aksi berkualiti untuk menafikan kemaraan penyerang prolifik, Ilija Spasojevic.

Selain daripada kehadiran pemain berpengalaman seperti Riko Simajuntak dan Andritany Ardhiyasa, separuh daripada skuad yang dimiliki oleh pasukan ini merupakan pemain berusia bawah 23 tahun.

Hal ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada kelab di Malaysia untuk memberikan lebih minit permainan kepada para pemain muda sekaligus dapat membantu dalam menghasilkan lebih ramai pelapis yang berkualiti.

Antara pasukan Liga Super yang menggunakan khidmat pemain muda adalah Selangor FC (25.1) dan Terengganu FC (25.5).

Walaupun begitu, barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan perlu melakukan analisis yang lebih mendalam dalam mengenalpasti kekurangan kerana mereka dilihat masih gagal mengekalkan konsistensi permainan.

Sebagai contoh, Selangor yang membariskan beberapa orang pemain B-23 negara seperti Quentin Cheng dan Mukhairi hanya berjaya mencatatkan empat kemenangan daripada 11 perlawanan.

Pada masa yang sama, pasukan lain juga boleh mula mengikut jejak langkah pasukan ini bagi memberi peluang kepada pemain muda.

Pasukan ketiga terbawah liga, Sarawak United mempunyai purata umur yang paling tinggi (29.5).

Situasi ini dilihat sedikit memberi kesan kepada persembahan mereka yang sedikit ketinggalan daripada segi stamina apabila berhadapan dengan pemain yang lebih muda.

Hasilnya, kelab ini telah melepaskan 29 gol musim ini, menjadikan mereka sebagai pasukan yang memiliki jumlah bolos yang paling tinggi selepas 12 perlawanan liga.

Kudrat pemain muda akan semakin ditagih pada musim depan susulan daripada perubahan struktur liga yang akan memperbanyakkan jumlah perlawanan.