Disiplin jadi kunci kejayaan Ginting dan Christie, boleh jadi teladan baik kepada pemain muda negara

474

Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) sehingga kini masih belum menekan butang panik untuk mendapatkan khidmat mana-mana jurulatih untuk membantu menyiapkan barisan pemain perseorangan untuk bertanding di kejohanan yang akan datang.

Terdahulu, tempat ketua jurulatih perseorangan lelaki negara tersebut masih belum diisi semenjak pengunduran Hendry Saputra.


Hendry yang menjawat jawatan ini bermula pada tahun 2015 berjaya membawa perubahan kepada barisan pemain perseorangan lelaki Indonesia.

Pencapaian terbesarnya adalah sewaktu membimbing para pemainnya untuk menjadi juara Piala Thomas 2021.

Walaubagaimanapun, pemain perseorangan Indonesia seperti Anthony Ginting dan Jonatan Christie dilihat tidak mempunyai masalah untuk beraksi dengan baik meskipun ketiadaan jurulatih khusus untuk memantau latihan dan persiapan mereka.

Lebih menakjubkan, Ginting berjaya menamatkan kemarau kejuaraannya selama dua tahun selepas berjaya menakluki kejohanan Terbuka Singapura.

Perkara ini akan menjadi cabaran yang besar kepada para pemain negara untuk membuktikan kemampuan mereka.

Disiplin dan kecekalan tinggi yang dimiliki oleh pemain Indonesia ini boleh dijadikan sebagai contoh teladan yang baik kepada barisan pemain muda yang dimiliki oleh negara pada ketika ini.

Kemahiran yang dimiliki oleh pemain perseorangan negara seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Adil Sholeh akan terus dapat digilap melalui penekanan disiplin permainan dan latihan yang tinggi.

Ditambah pula dengan kehadiran jurulatih berpengalaman seperti legenda perseorangan lelaki Indonesia, Hendrawan yang pernah melatih pemain ternama termasuk bekas pemain No. 1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei.

Kelebihan yang dimiliki ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para pemain untuk terus meningkatkan kualiti permainan untuk kembali menjulang nama negara di persada badminton dunia.

Pemain No. 1 negara, Lee Zii Jia juga memiliki kelebihan tatkala beliau mempunyai barisan kejurulatihan yang lengkap dan mampu menganalisis serta memperbaiki prestasi semasa beliau.

Berdasarkan situasi ini, diharap agar Zii Jia dapat menemui rentak kecemerlangannya segera menjelang aksi Kejohanan Dunia yang akan bermula pada Ogos ini di Tokyo.

Zii Jia terpaksa melupakan aksi di empat kejohanan bagi memastikan beliau bersedia sepenuhnya untuk memberi saingan di pentas tertinggi tersebut.

Sesungguhnya peminat badminton Malaysia amat merindui aksi bertenaga dari pemain berusia 24 tahun ini untuk kembali menggegarkan pentas tertinggi dunia.

Kejayaan beliau di Terbuka England 2021 merupakan antara kenangan manis yang akan terus terpahat di dalam hati setiap peminat badminton negara.