Usaha Shin Tae-yong perkasakan bakat muda Indonesia disokong kelab Liga 1

386

Liga utama Indonesia, Liga 1 baru sahaja membuka tirainya hujung minggu lalu untuk musim 2022/2023 dengan 18 pasukan bakal merebut kejuaraan.

Di sebalik kerancakan minggu pertama liga tersebut, terdapat satu perkara yang membanggakan buat bakat-bakat muda tempatan.


Mengikut statistik, hanya tiga kelab yang tidak menurunkan pemain B-23 dalam perlawanan pertama liga iaitu PSS Sleman, Madura United dan Bali United.

Seramai 36 orang pemain B-23 telah mendapat peluang beraksi, satu rekod baharu sejak sekian lama kecuali pada tahun 2017 ketika Indonesia mewajibkan setiap kelab menurunkan sekurang-kurangnya tiga pemain B-23 dalam setiap perlawanan.

Pemain Persis Solo dan juga salah seorang daripada skuad B-19 Indonesia, Zanadin Fariz, 18, menjadi pemain paling muda yang diturunkan, dan telah beraksi selama 90 minit.

Indonesia tidak mempunyai peraturan khusus untuk menurunkan pemain di bawah usia 23 tahun namun atas rasa tanggungjawab terhadap pasukan kebangsaan, majoriti kelab memberi peluang kepada pemain muda mereka untuk beraksi.

Ini adalah satu perkara yang amat positif untuk masa depan bola sepak negara itu dengan kebanyakan kelab menyokong usaha ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong untuk memperkasakan pemain-pemain muda.

Ia juga selari dengan falsafah beliau yang gemar memberi peluang kepada pemain muda untuk bermain dan sedang mencorak pasukan kebangsaan untuk masa hadapan.

Tambahan pula, Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia B-20 tahun depan, justeru ini adalah baik buat pemain-pemain kebangsaan untuk menghadapi kejohanan itu.

Selain itu, ia juga pastinya dapat membantu persiapan Indonesia menghadapi Piala Asia 2023 dengan mencungkil lebih banyak bakat pemain-pemain muda yang berpotensi untuk dipilih Tae-yong.

Jika perkara ini berterusan, Indonesia akan mempunyai ramai ‘player pool’ dalam kalangan pemain-pemain muda dalam tempoh beberapa tahun lagi.