Thailand sudah ada strategi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, masa depan skuad B-23 negara masih jadi tanda tanya
Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah mengumumkan perancangan negara tersebut untuk memastikan slot layak ke Sukan Olimpik 2024 dapat dicapai.
Salah satu daripadanya adalah mereka akan menggunakan pemain yang lahir selepas tahun 2001 sahaja pada kesemua kejohanan bawah 23 selepas ini.
Pemain berusia 21 tahun ke bawah akan terus dijadikan fokus utama negara tersebut termasuk pada penyertaan dalam saingan Sukan SEA dan Sukan Asia yang akan dijalankan pada tahun hadapan.
Mengikut perancangan yang dikongsikan, pemain-pemain muda ini akan mula diberi pendedahan menerusi beberapa aksi perlawanan persahabatan yang dijangka berlaku pada tahun ini.
Ini menunjukkan bahawa persatuan bola sepak negara tersebut telah mula bersedia dan sudah mempunyai senarai pemain muda yang akan dijadikan sebagai sandaran utama untuk menggalas cabaran skuad tersebut selepas ini.
Baki dua tahun yang ada sebeleum temasya Olimpik bermula akan memberikan masa yang secukupnya untuk mereka menghasilkan sebuah pasukan yang mantap dan mampu mendominasi kejohanan di rantau Asia terlebih dahulu sebelum bertanding di sukan utama dunia.
Skrip yang jelas berbeza dengan Malaysia tatkala hala tuju pasukan bawah 23 negara masih menjadi tanda tanya.
Sehingga ke hari ini, masih belum ada kata putus tentang siapa yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas ketua jurulatih, Brad Maloney yang membuat keputusan untuk mengundurkan diri selepas kegagalan di beberapa kejohanan besar.
Namun, tetap ada sinar yang cerah untuk masa depan negara apabila skuad B-19 negara baru sahaja memenangi Piala AFF B-19 yang diadakan di Indonesia.
Berdasarkan prestasi mereka di kejohanan tersebut, terdapat beberapa orang pemain yang sudah bersedia dan mampu untuk menggalas tanggungjawab bagi beraksi di peringkat umur B-23 bermula dari sekarang.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menggunakan kualiti sedia ada pada pemain muda yang dimiliki oleh negara dengan sebaiknya bagi memastikan bakat dan kebolehan mereka tidak disia-siakan.
FAM juga perlu segera mewujudkan strategi yang jelas dan mampu meningkatkan kualiti pemain muda negara.
Sebelum ini, skuad B-23 negara gagal mendapatkan sebarang pingat di temasya Sukan SEA serta menjadi pasukan belasahan di Piala Asia B-23 yang berlangsung di Uzbekistan.
Kekecewaan ini perlu segera diatasi agar kegemilangan skuad muda negara dapat dikembalikan sekaligus merealisasikan impian untuk layak ke Sukan Olimpik di Paris pada tahun 2024.