Benjamin Mora sah tinggalkan JDT

2,094

Selepas kecoh di media sosial mengenai status ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora akhirnya terjawab juga selepas pasukan Harimau Selatan telah mengesahkan jurulatih Mexico itu tidak akan bersama mereka lagi.

Pengesahan itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi JDT di laman sosial Facebook rasmi mereka yang menyatakan Mora sendiri yang minta dilepaskan kerana mahu pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi.


“Benjamin telah meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan dan JDT telah menghormati permintaan tersebut dan pintu JDT akan sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.

Benjamin merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.”

Terdahulu peminat mula tertanya-tanya ke mana Mora berikutan kelibatnya tidak kelihatan pada dua perlawanan terakhir JDT, dan pelbagai spekulasi timbul.

Ada yang berkata beliau ke Jepun bagi mengintai bakal lawan mereka di saingan kalah mati AFC Champions League (ACL) Ogos depan iaitu Urawa Red Diamonds.

Kini semuanya sudah terjawab, namun peminat masih ada persoalan baru – siapakah yang akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih JDT di pertengahan musim ini?

Beberapa nama telah pun mula diperkatakan antaranya Luciano Figueroa, Tan Cheng Hoe, Bojan Hodak dan beberapa lagi.

Figueroa adalah antara calon yang dilihat paling sesuai untuk mengambil tugas sebagai pengendali baru berikutan beliau sebelum ini bukan sahaja pernah bermain untuk JDT, tetapi juga pernah menjadi pengurus pasukan selama dua tahun.

Cheng Hoe juga mungkin boleh menjadi pengganti sementara berikutan beliau kini masih tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Pengendali KL City FC, Bojan juga menjadi sebutan kerana beliau sebelum ini pernah menjadi ketua jurulatih untuk JDT pada 2014 dan merupakan seorang individu yang memahami budaya di dalam kelab.

Apa-apa pun sama-sama kita tunggu pengumuman terbaru JDT mengenai pengganti Mora dalam masa terdekat ini.