UAE anjur kejohanan badminton termahal dunia, hos terbaru untuk Kejohanan Badminton Asia untuk lima tahun mendatang
Baru-baru ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mendapat hak penganjuran bagi Kejohanan Badminton Asia untuk lima tahun ke depan bermula 2023.
Kejohanan ini akan diadakan di Kompleks Sukan Hamdan yang pernah menganjurkan Siri Super Akhir Dunia dari tahun 2014 hingga 2017.
Lebih menarik, negara tersebut telah menaikkan jumlah wang kemenangan bagi kategori individu dan berpasukan.
Hadiah kemenangan bagi kategori individu dinaikkan dari RM5,347,200 ($1.2 million) kepada RM6,686,250.00 ($1.5 million).
Manakala, bagi kategori berpasukan akan berubah menjadi RM2,230,500 ($500,000) daripada hadiah sedia ada bernilai RM446,100 ($100,000).
Ini akan menjadikan Kejohanan Badminton Asia di UAE sebagai pertandingan termahal yang pernah dianjurkan dalam sejarah sukan ini.
Situasi ini jelas akan menjadi tarikan utama kepada para peminat sukan badminton yang dimonopoli oleh negara Asia.
Pada masa yang sama, penyertaan pemain ternama Asia di kejohanan utama rantau ini akan turut membantu dalam menjulang status kejohanan ini.
Tidak dapat dinafikan, wang kemenangan yang besar akan menjadi motivasi kepada para pemain untuk memberikan aksi yang terbaik untuk bersaing di kejohanan ini.
Tambahan pula, kejuaraan ini menawarkan slot kepada pemain untuk layak ke temasya Sukan Olimpik serta Kejohanan Dunia Badminton.
Justeru itu, pemain badminton negara juga perlu menjadikan kejohanan ini sebagai salah satu matlamat utama mereka.
Kejayaan pemain No. 1 Negara, Lee Zii Jia menjuarai kejohanan ini pada April yang lalu perlu diteruskan selepas ini untuk menghalang negara Asia yang lain seperti Jepun, China dan Indonesia untuk mendominasi.
Kejohanan ini mula mencari acara tahunan di beberapa bandar utama sekitar Asia bermula tahun 1991.
Dalam pada itu, UAE bercadang untuk melakukan sedikit perubahan kepada jadual kejohanan individu dari bulan April ke bulan Oktober.
Hal ini adalah untuk menjadikan kejohanan ini sebagai salah satu acara dalam kempen Cabaran Kecergasan Dubai.
Untuk acara berpasukan, Februari akan kekal menjadi bulan pilihan utama setakat ini kerana masih belum ada pengumuman yang dilakukan oleh pihak penganjur.
Diharap agar perkara positif seperti ini akan terus mengangkat martabat sukan badminton ke peringkat antarabangsa.