Bojan Hodak tak ambil pusing khabar angin beliau akan kembali ke JDT

536

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak memberitahu beliau tidak ambil pusing dengan khabar angin yang tersebar di media sosial yang mengaitkan namanya sebagai pengganti Benjamin Mora untuk mengendalikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya tak ambil tahu apa yang berlaku di media sosial kerana di sana banyak perkara tidak benar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu nama Hodak disebut-sebut sebagai salah seorang calon ketua jurulatih baru JDT selepas Mora dilepaskan atas sebab perihal peribadi.


Dalam pada itu, beliau nyata gembira dengan kemenangan 2-1 ke atas pasukan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super malam tadi.

Bagaimanapun, disebalik kemenangan itu Hodak turut mengakui masih terdapat kelemahan di banyak bahagian yang perlu diperbaiki dengan segera.

“Masih ada kelemahan di bahagian pertahanan dan serangan. Kita mempunyai banyak peluang tetapi kita tidak berjaya menjaringkan gol.

Walaupun masih banyak perlu diperbaiki, namun prestasi pemain semakin meningkat dan lebih baik dari awal musim lalu.”

Hodak pada masa sama turut gembira apabila penyerang barunya Jordan Mintah akhirnya berjaya membuka akaun jaringannya bersama KL City apabila berjaya menjaringkan dua gol sekaligus membawa pulang tiga mata berharga.

Beliau mengakui Mintah berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri pada awalnya, namun selepas menjaringkan gol, Hodak percaya pemain yang dipinjam dari Terengganu FC II itu akan terus meledak.

KL City selepas ini akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 1 Ogos untuk menentang pendahulu liga JDT.