Kemenangan malam ini adalah kemenangan pasukan – Jordan Mintah
Penyerang baru KL City FC, Jordan Mintah telah menjadi wira pasukan apabila dua jaringannya telah berjaya menumpaskan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super malam tadi.
Mintah membuka akaun jaringan pertamanya bersama KL City pada minit ke-56 menerusi sepakan penalti dan gol kedua pada minit ke-72.
Walaupun berjaya bantu pasukan KL City kutip tiga mata, namun Mintah enggan beri kredit pada dirinya sahaja sebaliknya berkata kemenangan yang dikecapi adalah kemenangan pasukan.
“Pada malam ini perlawanan sangat sukar buat kami, tapi pada perlawanan ini kami bernasib baik dan akhirnya kami berjaya dapat tiga mata.
Saya sangat gembira kerana ia adalah kemenangan pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sebelum ini penyokong The City Boys menyuarakan kebimbangan mereka terhadap prestasi Mintah yang tidak menjaringkan gol setelah dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua secara pinjaman dari Terengganu FC II.
“Saya tidak berasa tertekan langsung apabila tidak dapat menjaringkan gol pada tiga perlawanan sebelum ini kerana ketika itu saya baru sertai pasukan dan tidak mempunyai banyak masa untuk menyesuaikan diri. Saya belum sebulan pun bersama KL City jadi perlahan-lahan saya akan tingkatkan prestasi saya.”
Beliau pada masa sama turut mendedahkan sudah semakin serasi dan dapat menyesuaikan dengan kesemua pemain KL City dan juga corak permainan mereka.
Dengan sentuhan berbisa Mintah di hadapan gawang sudah kembali, beliau pasti akan menjadi harapan kepada pasukan KL City pada saingan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC menentang Viettel FC pada 10 Ogos nanti.