Ini adalah hari malang kami, tetapi kami akan pastikan menang lawan Filipina – Mecca Rania

142

Kapten skuad B-18 wanita negara, Mecca Rania mahu melupakan kekalahan besar kepada Australia pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Wanita B-18 semalam dan terus fokus untuk mencatat kemenangan sulung pada perlawanan seterusnya.

Beliau menggambarkan kekalahan 8-0 kepada Australia itu sebagai hari malang buat pasukan dan mengakui kesemua pemain kecewa dengan keputusan itu.


“Kami agak kecewa tetapi saya rasa semua orang dah berikan yang terbaik dan yang termampu cuma kami perlu terima bahawa mereka adalah pasukan yang lebih baik.

Bagi saya kami telah bertahan dengan agak baik tetapi gol daripada mereka tetap sentiasa datang,”

katanya.

Menurutnya, fokus pasukan kini adalah terhadap perlawanan terakhir kumpulan menentang Filipina.

Daripada perlawanan semalam, beliau berkata, apa yang dipelajari oleh para pemain adalah harus terus berusaha walaupun telah melepaskan banyak gol.

“Selepas ini, tak kisah berapa gol pun yang kami lepaskan kami tidak boleh berasa lemah semangat dan terus berlawan.

Kami harus terima kekalahan ini, pandang ke hadapan dan bangkit semula untuk menewaskan Filipina.”

Tambahnya, beberapa pemain turut menangis dengan kekalahan semalam kerana kecewa tewas besar walaupun sudah memberikan 100 peratus di atas padang.

Malaysia kini menghuni tangga tercorot kumpulan B tanpa sebarang mata di belakang Filipina yang juga tidak mempunyai sebarang mata tetapi dipisahkan dengan jumlah perbezaan gol.