Seberang Perai United FC mahu kukuhkan pasukan terlebih dahulu sebelum fikir sertai Liga M3

577

Baru-baru ini kelab bola sepak amatur Seberang Perai United FC (SPUFC) menjadi perhatian ramai apabila mereka secara terbuk mendedahkan laporan kewangan dan perancangan mereka untuk tahun 2022.

Tindakan mereka itu mendapat pujian daripada orang ramai terutamanya peminat bola sepak yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang telus sekaligus memperlihatkan kesungguhan mereka untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak secara profesional.


Menjadikan Kerteh FC sebagai contoh, SPUFC telah merangka pelbagai strategi untuk memastikan operasi kelab berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Sedar menguruskan sebuah pasukan memerlukan dana yang besar, SPUFC tidak mengharapkan dana daripada penaja sahaja, sebaliknya mereka sendiri turut mempunyai perniagaan sendiri yang akan menyumbang kepada pendapatan kelab.

Malah mereka juga tidak terburu-buru untuk cepat naik ke Liga M3 kerana mereka mahu kukuhkan kelab itu sendiri terlebih dahulu sebelum fikir mahu naik liga.

“Buat masa ini kami pilih untuk main di liga bawah dulu seperti SP League kerana kita semua sedia maklum untuk main di Liga M3 kita perlu sekurang-kurangnya RM1 juta untuk semusim. Jika kita dapat RM1 juta pun, apa akan berlaku pada musim depan jika kita masih kekal di situ.

Kita perlu ada sekurang-kurangnya RM3 juta untuk bermain di sana kerana kita perlu fikir tiga tahun ke depan. Oleh itu kami buat keputusan untuk kukuhkan pasukan terlebih dahulu sebelum fikir nak naik ke Liga M3,”

ujar pemilik SPUFC, Akmal Ahmad kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, SPUFC enggan buat keputusan terburu-buru kerana bimbang mereka tidak dapat kekal di Liga M3 ketika kelab tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

Akmal juga memberitahu bahawa SPUFC tidak mahu mengambil jalan pintas dengan mengambil bekas-bekas pemain di Liga Perdana atau pun Liga Super kerana fokus mereka adalah untuk membangunkan pemain-pemain muda di bawah usia 21 tahun.

Dalam pada itu, selain menjana pendapatan menerusi pelbagai perniagaan, SPUFC juga menganjurkan liga mereka sendiri yang dikenali sebagai SP League yang mana ia sedang berlangsung ketika ini.

Mereka juga sedang dalam perancangan untuk menaik taraf liga tersebut dengan menjalankan kerjasama dengan pihak Amateur Football League (AFL) untuk menjadikan SP League sebagai Liga M5 pada tahun hadapan.

“SP League sudah berjalan lebih dua bulan dan ia menjadi tumpuan pada kelab-kelab di daerah Seberang Perai, jadi kami mahu menjadikan ia sebagai liga yang kompetitif oleh itu insyaAllah pada tahun depan kami mahu bekerjasama dengan AFL untuk menjadikan SP League sebagai Liga M5.”

Sementara itu, SPUFC juga sedang dalam perancangan untuk menubuhkan akademi bola sepak mereka sendiri tidak lama lagi.