V. Saravanan sifatkan kuota sembilan import terlalu banyak

522

Bekas pemain Perak FA, V. Saravanan merasakan bahawa kuota sembilan import dalam Liga Malaysia bermula musim depan adalah terlalu banyak.

Menurutnya, kelab harus sedar diri dengan kemampuan mereka dan tidak perlu mengisi kesemua kuota import yang dibenarkan itu.


“Bagi saya sembilan pemain import adalah sangat banyak tetapi terpulang juga pada kelab tertentu mungkin mereka perlu lakukan rotasi pemain.

Yang penting jika ada duit boleh saja, tetapi yang kurang berduit tu ambil saja pemain yang anda mampu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Namun, beliau memuji tindakan Malaysian Football League (MFL) untuk meningkatkan jumlah pasukan Liga Super kepada 18.

Menurutnya, format baru ini akan menjadikan liga lebih sengit dengan setiap pasukan akan menghadapi perlawanan yang lebih banyak.

“Kalau tidak setiap pasukan akan menentang pasukan sama sahaja setiap musim, jadi format baru ni jadikan liga lebih dinamik dan menarik.

Kita lihat sekarang ini banyak kelab yang dapat nafas baru seperti Kelantan FC, Perak FC dan lain lain yang berhempas pulas mahu naik ke Liga Super jadi saya rasa ia satu langkah yang bijak.”

Walaubagaimanapun, beliau berharap Malaysia turut mempunyai pembangunan akar umbi yang mantap dengan mewujudkan liga kompetitif dari usia B-12.

Katanya, dengan liga kompetitif seawal usia itu, ia dapat menyediakan seorang pemain yang baik pada usia 18 tahun dan bersedia untuk bermain di peringkat yang tinggi.