Eksklusif: F1 berkemungkinan besar kembali ke Sepang pada tahun 2024!
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman memberi berita baik tentang kemungkinan besar bahawa acara sukan permotoran utama dunia, Formula One (F1) akan kembali diadakan di Malaysia.
“Kemungkinan besar F1 akan kembali ke Malaysia, namun masih belum ada kata putus yang rasmi.
Kami mempunyai harapan besar agar ia menjadi kenyataan, bila masa yang tepat tiba, sudah pasti F1 akan kembali ke Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Khabar angin ini dikuatkan lagi dengan kunjungan yang dilakukan oleh pemandu F1 terkemuka dari pasukan Mercedes AMG Petronas, Sir Lewis Hamilton dan George Russell ke Malaysia pada April lalu.
Tambahan pula, SIC telah berjaya menduduki tangga ketiga pada satu undian yang dilakukan oleh WTF1 Podcast sebelum ini.
WTF1 telah mengadakan satu undian untuk mengenal pasti litar mana yang menjadi kegemaran peminat sukan F1 di seluruh untuk dikembalikan pada saingan perlumbaan tatkala Grand Prix Rusia telah dibatalkan susulan daripada konflik di antara negara tersebut dan Ukraine.
Meskipun kali terakhir menganjurkan F1 pada tahun 2017, SIC tetap meriah dengan pelbagai acara sukan permotoran yang memenuhi kalendar trek perlumbaan tersebut.
Tahun ini merupakan antara tahun yang memperlihatkan kepadatan jadual SIC dengan penganjuran pelbagai acara permotoran berskala besar dari awal tahun.
“Sebenarnya SIC tidak hanya tertumpu kepada F1 dan MotorGP semata-mata, kita ada acara yang lain seperti Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) dan Sepang 1000KM.
Minggu ini kita akan ada Malaysian Superbike Series, sebuah kejohanan nasional untuk motosikal berkuasa tinggi dan terbuka untuk orang ramai.”
Selain itu, terdapat pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh pihak pengurusan bagi menarik perhatian orang awam untuk hadir ke litar tersebut.
Ini termasuk dengan mengadakan pelbagai acara lain seperti sukan berbasikal yang berjaya mendapat sambutan memberangsangkan.
Situasi ini jelas membantu dalam menghakis persepsi orang ramai terhadap sukan permotoran dan litar tersebut yang sebelum ini dianggap hanya untuk golongan elit sahaja.
“Idea saya adalah untuk membuka lagi SIC ini kepada semua orang, kami akan cuba memperkenalkan lebih banyak aktiviti.
Kami akan wujudkan satu fasiliti baru yang diberi nama Driving Experience Centre yang tertumpu kepada kemahiran dan keselamatan ketika memandu.”
Diharap agar kesemua usaha yang dilakukan ini akan berjaya memupuk minat orang ramai untuk sama-sama hadir dan memberikan sokongan terhadap pelbagai acara yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada setiap tahun.
Litar yang mula dibuka pada tahun 1999 itu juga pernah menganjurkan beberapa konsert yang dihadiri oleh artis dari luar negara seperti David Guetta dan kumpulan dari Korea Selatan, EXO.
Kini, litar yang berkeluasan 303 hektar itu telah dibuka kepada orang ramai untuk melakukan pelbagai aktiviti sukan seperti berbasikal dan berlari.