Bos memang sasarkan Harini FT ke Liga Super, jadi kami kena bersedia dari sekarang – Khalid Jamlus

5,880

Pengurus pasukan Harini FT, Khalid Jamlus mengakui pasukannya menggalas tanggungjawab yang besar untuk merealisasikan impian pemilik pasukan untuk beraksi di Liga Super 2023.

Menurutnya, pihak pengurusan atasan sememangnya sudah menjalankan persiapan rapi bagi mempersiapkan segala keperluan dari segi dokumentasi untuk ke Liga Super.


“Segala proses dari segi perlesenan itu pihak atasan yang selesaikan, saya sebagai pengurus bersama-sama barisan kejurulatihan hanya perlu pastikan pasukan ini layak.

Tetapi buat masa sekarang, kita habiskan dahulu baki Liga M3 ini kemudian baru kita lihat adakah kita mampu untuk pergi ke liga yang lebih tinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaubagaimanapun, lagenda Perak FC dan pasukan kebangsaaan, Khalid tidak mahu terlalu teruja sekiranya layak ke Liga Super musim depan kerana sedar persaingan yang lebih hebat bakal tiba.

Katanya, mereka harus terus memantapkan lagi pasukan sebelum bersedia untuk bersaing dengan kelab-kelab besar, terutama selepas kuota import dinaikkan kepada sembilan.

“Kita tak boleh nak beria sangat untuk ke Liga Super jika tiada perisai yang cantik dan mantap untuk meneruskan perjuangan dalam liga.

Kita pasti akan buat sesuatu yang baru di mana kita perlukan juga beberapa pemain yang berkualiti untuk bersama kita bagi memantapkan lagi pasukan.”

Dalam pada itu, beliau merasakan penambahan pasukan kepada 18 bermula musim depan adalah satu perkembangan positif buat meningkatkan lagi kualiti pemain, sekaligus memberi manfaat buat pasukan kebangsaan.

Tambahnya, perkara ini juga akan meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain untuk menjadi lebih baik dalam setiap perlawanan.