Azmeer Yusof mahu beraksi semula di Liga Super bersama Harini FT

3,415

Pemain pertahanan Harini FT, Azmeer Yusof mengakui beliau dan rakan-rakan sepasukan mempunyai sasaran untuk membawa kelab ke Liga Super musim depan.

Menurutnya, selepas pihak Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa 18 pasukan akan beraksi dalam liga tertinggi negara itu, mereka mendapat motivasi tambahan untuk beraksi dengan lebih baik.


“Kita kena faham bahawa liga profesional dan liga amatur adalah berbeza, sekiranya kita tidak tingkatkan prestasi dari sekarang kita akan ketinggalan.

Semua pemain harus ambil peluang ini untuk buktikan yang mereka betul-betul mampu bermain di Liga Super dan bukan sekadar layak secara merit sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau yang bertukar peranan daripada pertahanan kiri ke pertahanan tengah mengakui lebih selesa bermain di posisi baru itu selepas beraksi dalam beberapa perlawanan.

Tambahnya, beliau dan pemain-pemain senior lain yang sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Super gembira dapat berkongsi pengalaman bersama pemain-pemain muda serta membantu pasukan untuk berada di tangga pertama liga.

“Sebagai pemain senior, kami mahu memberi khidmat kepada pasukan jadi tiada istilah kuda tua sebagainya kerana usaha yang ditunjukkan pemain senior ini kadang-kadang lebih tinggi daripada pemain muda.”

Berbaki dua perlawanan, Harini FT ketika ini memimpin kumpulan B Liga M3 dengan kelebihan empat mata berbanding pasukan tempat kedua, BRM FC.