Kami harus buktikan mampu bersaing dalam Liga Super, bukan sekadar layak sahaja – Farizal Harun

285

Penjaga gol Harini FT, Farizal Harun berpendapat beliau dan rakan-rakan harus meningkatkan lagi usaha untuk bersaing di Liga Super sekiranya layak musim depan.

Menurutnya, mereka harus berlatih dengan lebih kuat lagi dari sekarang kerana persaingan di Liga Super adalah lebih tinggi daripada Liga M3.


“Kita kena faham bahawa liga profesional dan liga amatur adalah berbeza, sekiranya kita tidak tingkatkan prestasi dari sekarang kita akan ketinggalan.

Semua pemain harus ambil peluang ini untuk buktikan yang mereka betul-betul mampu bermain di Liga Super dan bukan sekadar layak secara merit sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga mengakui teruja dengan prospek untuk kembali semula ke Liga Super selepas kali terakhir beraksi di liga itu bersama Selangor FC.

Tambahnya, peluang untuk beraksi di liga tertinggi negara itu memberikan inspirasi yang lebih buatnya dan rakan-rakan.

“Siapa yang tak nak beraksi di Liga Super kan, sebab saya dulu pun pernah bermain di peringkat itu.

Tetapi kita kena buktikan yang kita layak seiring dengan apa yang pihak pengurusan sasarkan pada awal musim ini.”

Dalam pada itu, beliau gembira dapat berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain muda dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk menjadi contoh dalam pasukan.

Tambahnya, semua pemain mempunyai daya saing yang tinggi dan turun dalam setiap perlawanan untuk mendapatkan kemenangan.