Shin Tae-yong ‘Godfather’ bola sepak Indonesia

997

Nama Shin Tae-yong bukanlah aneh buat rakyat Indonesia kerana beliau merupakan individu paling terpenting dalam bola sepak moden di Indonesia ketika ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu mengambil alih pasukan kebangsaan pada tahun 2019 namun pada mulanya pendekatakannya menerima kritikan ramai juga, tetapi perlahan-lahan beliau telah berjaya mengubah landskap bola sepak negara itu.


Kini Tae-yong boleh dianggap sebagai ‘Godfather’ bola sepak di Indonesia kerana beliau bukan sahaja mengendalikan skuad senior, tetapi juga skuad B-23 dan juga B-19.

Apa yang membuatkannya boleh dikatakan sebagai ‘Godfather’ bola sepak di Indonesia adalah kerana Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akan mengikut segala kehendak Tae-yong untuk memajukan bola sepak mereka.

Malah Presiden Indonesia sendiri iaitu Joko Widodo turut menyatakan bahawa beliau memberi sokongan penuh kepada Tae-yong dalam memajukan sukan nombor satu di negara itu.

Malah semalam ketika pertemuan Jokowi bersama Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol di Seoul untuk lawatan kerja, Tae-yong telah dijemput untuk turut bersama dalam majlis makan malam.

Foto yang telah dimuat naik itu telah membuktikan bahawa Tae-yong ketika ini mempunyai pengaruh yang cukup besar di negara itu.

Sejak mengambil alih skuad Garuda, beliau telah berjaya membawa pasukan itu menjadi naib juara Piala AFF 2020, skuad B-23 mendapat pingat emas di Sukan SEA di Vietnam.

Menariknya, kelab-kelab bola sepak yang beraksi di Liga 1 Indonesia turut memberi sokongan kepada perancangan Tae-yong yang mahu membangunkan pemain-pemain muda.

Ia telah dibuktikan apabila banyak kelab yang menurunkan ramai pemain muda pada minggu pertama saingan Liga 1 Indonesia membuka tirai.

Dengan usaha yang dilakukan Tae-yong, ditambah dengan sokongan padu daripada pihak kerajaan termasuk kelab-kelab bola sepak, tidak mustahil satu hari nanti Indonesia akan menjadi antara pasukan terkuat di Asia.

Dalam pada itu, bola sepak Malaysia juga sudah mula memperlihatkan kebangkitan sejak jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon mengambil alih skuad Harimau Malaya.

Impak Pan-gon sudah dapat dilihat apabila beliau berjaya membantu pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 secara merit sekaligus menamatkan penungguan lebih 40 tahun untuk layak secara merit.

Falsafah yang dibawa oleh Pan-gon turut memberi inspirasi kepada ketua jurulatih skuad B-19 negara iaitu Hassan Sazali yang turut mencipta kejayaan apabila berjaya membawa skuad Harimau Muda menjulang trofi Piala AFF B-19 baru-baru ini.

Dengan kedua-dua negara memperlihatkan kemajuan positif dalam dunia bola sepak, ia pasti akan menjadi perlawanan epik sekiranya Indonesia dan Malaysia berentap di padangn nanti.