Harimau Muda sasar jadi juara Piala AFF B-16

371

Ketua jurulatih B-17 negara, Osmera Omaro yakin dengan kemampuan anak buahnya sebagai salah sebuah pasukan yang termasuk dalam perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Salah satu daripada sasaran yang diletakkan kepada pasukan ini adalah untuk layak ke Piala Dunia B-20 yang akan diadakan di Peru pada tahun hadapan.


“Dari segi kemampuan, mereka sudah bersedia tetapi sukan bola sepak bukan semudah yang disangka.  

Walaubagaimanapun terdapat beberapa unjuran prestasi yang sangat baik meskipun mereka terkesan dengan pandemik COVID-19,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, pemain-pemain ini akan menggalas cabaran negara di saingan Piala AFF B-16 yang diadakan di Indonesia bermula 31 Julai hingga 12 Ogos.

Terdahulu, skuad Harimau Muda mula menjalani latihan berpusat pada 18 Julai termasuk mengadakan dua perlawanan persahabatan.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan C bersama Australi, Myanmar dan Kemboja.

“Setakat ini yang saya rasa persiapan pemain agak positif tambahan pula kebanyakan daripada mereka merupakan pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Tambahan pula kemasukan beberapa pemain dari akademi luar turut melengkapkan lagi pasukan sedia ada.”

Persefahaman antara pemain ketika ini akan terus ditagih tatkala pasukan negara akan membuka tirai kejohanan pada 2 Ogos ini menentang Kemboja.

Pada masa yang sama, Osmera turut merasakan kejohanan tahun ini akan memberi cabaran yang lebih getir kepada anak buahnya bagi mengekalkan kejuaraan yang pernah dimenangi oleh skuad negara pada tahun 2019 di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, P. Maniam.

“Cabaran tahun ini akan jadi berbeza kerana pertandingan ini akan menemukan pemain yang berada di tahap hampir dewasa.

Meskipun pihak pengurusan menjadikan separuh akhir sebagai sasaran sebelum ini tetapi kita tahu setelah beberapa kejayaan yang dicapai, harapan kini adalah untuk kita menjadi juara.”

Kejayaan skuad AMD di Piala Belia ditambah dengan kehadiran empat pemain dari pasukan B-16 Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi taruhan Osmera untuk mencipta kejutan dan kejayaan pada kejohanan kali ini.

“Kerjaya sebagai jurulatih memang akan berhadapan dengan tekanan dan kejayaan bola sepak Malaysia pada hari ini sudah semestinya memberi tekanan tetapi saya percaya kami mampu lakukannya.”

Pemilihan pemain kali ini telah melibatkan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan pemain yang dipilih mampu mempamerkan aksi yang diharapkan.

Terdahulu, pasukan bawah 16 AMD yang turut dibimbing oleh Osmera telah berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 pada aksi suku akhir pertama Piala Belia 2022 menentang Selangor FC.