Sasaran separuh akhir adalah realistik, bonus sekiranya berjaya mara ke final – Christopher Raj

395

Pengurus pasukan B-16 negara, Christopher Raj yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh barisan pemain yang dibawa ke Indonesia untuk menghadapi saingan Piala AFF B-16 yang akan bermula pada 31 Julai ini.

Peralihan era bola sepak yang baru memaksa para pemain untuk lebih cepat mempertingkatkan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.


“Sasaran peribadi saya adalah untuk pasukan ini mara ke final, dalam pertandingan seperti ini apa apa boleh berlaku.

Bola sepak semakin berubah, pemain perlu mempunyai impian yang lebih tinggi, layak ke separuh akhir adalah fokus ketika ini tetapi mara ke perlawanan akhir akan menjadi bonus kepada pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kesemua pemain perlu memberikan aksi yang baik bagi membolehkan mereka mengikut jejak langkah pasukan B-19 yang menjuarai Piala AFF B-19 sebelum ini.  

Dalam pada itu, kejohanan ini juga akan menjadi medium ujian terbaik untuk pasukan kendalian ketua jurulatih, Osmera Omaro menjelang aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-17 yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Pasukan projek jangka masa panjang ini perlu memanfaatkan peluang beraksi menentang pasukan yang berada di ranking atas dunia seperti Australia sebagai persiapan masa depan.

“Kita perlu menggunakan kesempatan kali ini kerana kita akan berhadapan dengan pasukan yang lebih kuat pada saingan kelayakan AFC (Piala Asia) Oktober ini.”

Dalam pada itu, skuad Harimau Muda telah melakukan persiapan rapi menerusi dua latihan berpusat yang diadakan ditambah dengan beberapa siri perlawanan persahabatan menentang pasukan belia Negeri Sembilan FC dan PJ City FC.

“Saya rasa persiapan kami agak bagus, saya lihat para pemain berada di suatu tahap yang baik dari segi psikologi, fizikal dan semangat juang yang cukup tinggi.”

Pada perlawanan tersebut, pasukan ini berjaya mengikat pasukan B-21 PJ City seri tanpa jaringan pada babak pertama, namun permainan tidak dapat dihabiskan ekoran daripada keadaan hujan dan kilat yang berpanjangan.

Manakala, pada aksi persahabatan kedua, mereka tewas tipis dengan jaringan 1-0 kepada pasukan belia Negeri Sembilan.

Di pusingan kelayakan Piala Asia B-17 nanti, skuad muda negara ini telah diundi bersama pasukan Palestin, Guam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan B.

Dengan pelbagai persiapan yang telah dilakukan, tidak mustahil untuk pasukan ini untuk berjaya mara sehingga ke pusingan akhir Piala Asia B-17 yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Selain itu, pasukan ini juga akan menjadi wakil negara pada temasya Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.