Afiq Danish ingin ikut jejak langkah pasukan senior harumkan nama negara

662

Pencapaian skuad senior untuk layak ke Piala Asia 2023 serta kejayaan pasukan B-19 menjuarai Piala AFF sebelum ini akan menjadi motivasi untuk para pemain skuad B-16 negara di kejohanan Piala AFF B-16 yang akan bermula pada 31 Julai ini.

Perkara ini turut diakui oleh pemain tengah, Afiq Danish yang melihat kedua-dua pencapaian tersebut sebagai pembakar semangat terbaik kepada beliau dan pasukan.


“Kejayaan mereka sebelum ini adalah sebuah inspirasi kepada kami untuk tunjukkan sesuatu dalam mengikut jejak cemerlang mereka.

Jika meraka mampu menunjukkan kejayaan, kami pun mampu melakukan perkara yang sama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, skuad B-16 negara telah mula mengadakan kem latihan pusat kedua di Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke Indonesia hari ini (29 Julai).

Beberapa siri perlawanan persahabatan telah diatur oleh barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Osmera Omaro bagi menguji persefahaman para pemain yang dipilih daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan pasukan B-16 Johor Darul Ta’zim (JDT).

Antara lawan mereka adalah pasukan B-21 Negeri Sembilan FC serta skuad B-21 PJ City FC.

Meskipun tidak berjaya mencatatkan kemenangan, skuad muda ini tetap berjaya memperagakan kualiti permainan yang baik meskipun menentang pasukan yang dibarisi oleh pemain lebih tua daripada mereka.

“Kami telah menghadapi dua perlawanan persahabatan, perlawanan tersebut berjalan dengan baik dan kesemua pemain menunjukkan kesungguhan yang bagus serta berjaya mengikuti kesemua arahan yang diberikan oleh jurulatih pada aksi tersebut.”

Keputusan ini akan menjadi tonik tambahan kepada kesemua pemain termasuk Afiq bagi meneruskan momentum kecemerlangan pada saingan sebenar yang akan bermula pada 2 Ogos berhadapan dengan pasukan Kemboja.

Afiq merupakan salah seorang pemain pasukan B-16 AMD yang telah berjaya menundukkan pasukan belia Selangor FC di perlawanan pertama saingan suku akhir Piala Belia 2022 Isnin lalu (25 Julai).