Hati-hati Hector Bidoglio, KL City ujian pertama ketua jurulatih baru JDT

4,282

Selepas Benjamin Mora sah meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT), jawatan ketua jurulatih Harimau Selatan telah diberikan kepada pengendali berpengalaman dari Venezuela, Hector Bidoglio.

Bidoglio merupakan bekas jurulatih kelab terkenal Argentina iaitu Newell’s Old Boys dan juga beberapa kelab utama di liga Peru dan Ecuador.


Walaupun kemasukkan pengendali berusia 54 tahun itu mengejutkan ramai peminat JDT, namun mereka tetap teruja selepas mengetahui rekod dan pengalaman yang ada padanya.

Beliau bakal berdepan tugas getir pada perlawanan sulungnya sebagai ketua jurulatih JDT yang baru apabila mereka akan bertemu dengan KL City FC dalam perlawanan Liga Super pada 1 Ogos ini.

Semua sedia maklum luka peminat JDT terhadap kekalahan pasukan Harimau Selatan itu di tangan KL City pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 masih lagi belum sembuh sepenuhnya.

JDT akan bermain di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), oleh itu Bidoglio perlu pastikan mereka mengutip tiga mata penuh.

Biarpun agak berat untuk menggalas tugas ketika saingan liga sudah separuh musim, namun dengan pengalaman luas Bidoglio dalam dunia bola sepak, ia pasti tidak akan menimbulkan banyak masalah buatnya.

Tambahan pula, falsafah dan taktikal yang digunakan oleh anak didik Marcelo Bielsa, Bidoglio juga hampir serupa dengan Mora iaitu 4-3-3, jadi pemain tidak akan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih yang baru.

Selepas pertemuan dengan KL City, JDT mempunyai satu lagi perlawanan penting iaitu separuh akhir Piala FA menentang Penang FC pada 5 Ogos.

Bagaimanapun tugas paling berat menanti Bidoglio adalah pada 19 Ogos depan apabila mereka akan berdepan gergasi Jepun, Urawa Red Diamonds pada aksi pusingan 16 kalah mati AFC Champions League (ACL).

Mampukah Bidoglio beri sentuhan magiknya bersama JDT? Sama-sama kita tunggu.