Kobe Jae Chong akui ada perbincangan dengan Sri Pahang FC, terima beberapa tawaran dari Liga Malaysia

436

Pemain AFC Telford United, Kobe Jae Chong mengakui terdapat perbincangan di antara pihaknya dan pengurusan pasukan Sri Pahang FC sebelum ini.

Hal ini terus menjawab tanda tanya yang timbul di fikiran peminat sewaktu Kobe membuat keputusan untuk berkunjung ke Malaysia.


“Saya pergi ke Malaysia adalah untuk menikmati sendiri keadaan di sana dan itu adalah keputusan yang dilakukan oleh saya.

Tetapi memang ada beberapa perbincangan dengan Sri Pahang, namun saya rasa lebih baik untuk saya kekal di Eropah dan England,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kelibat pemain muda ini di Malaysia menimbulkan sensasi apabila ramai pihak yang membuat spekulasi perpindahan beliau ke beberapa kelab besar di Malaysia selepas dilepaskan oleh bekas kelabnya, Peterborough United.

Selain Sri Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan salah satu kelab yang dikaitkan dengan pemain kacukan ini pada jendela perpindahan kedua yang telah ditutup pada 24 Jun yang lalu.

“Saya mempunyai masa yang baik bersama pemain di Sri Pahang ia merupakan pengalaman yang sangat hebat.

Selain daripada Sri Pahang, saya juga menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain di Malaysia namun ia tidak kukuh kerana mungkin mereka tahu saya ingin kekal di Eropah.”

Meskipun perpindahan ke pasukan Malaysia tidak menjadi kenyataan, Kobe tidak menolak kemungkinan untuk beliau beraksi di negara ini pada masa hadapan.

Tambahan pula, beliau dan agennya kini sedang giat menyelesaikan proses dokumentasi yang sudah berlarutan untuk tempoh masa yang agak panjang.

“Sukar untuk saya menjawab persoalan tentang masa depan saya tetapi sudah semestinya saya ingin bermain di Malaysia namun bukan sekarang.

Saya rasa untuk sekarang, keputusan yang tepat adalah untuk kekal di England tetapi kita tidak tahu pada masa depan.”

Kobe kerap dikaitkan dengan pasukan Pantai Timur tersebut ekoran daripada kunjungan yang diterima olehnya daripada kerabat diraja Pahang pada September 2021.

Terdahulu, kelibat Kobe juga telah dilihat pada aksi persahabatan pasukan Sri Pahang yang diadakan di Stadium Darul Makmur pada tempoh rehat Liga Malaysia Jun lalu.

Pemain tengah ini kini menjadi antara pilihan kesebelasan utama bagi mengemudi bahagian tengah kelab barunya, AFC Telford United.