Wajarkah trio Tan Cheng Hoe, Ramon Marcote dan Azmi Ibrahim kembali kemudi Kedah Darul Aman FC?

798

Musim ini boleh dikatakan perit buat penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila terpaksa menyaksikan prestasi ‘yo-yo’ yang dipamerkan oleh pasukan kesayangan mereka.

Prestasi tidak konsisten ini disumbang oleh rombakan besar-besaran pasukan yang menyaksikan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak terpaksa menggunakan ramai pemain baru dan muda untuk kempen musim ini.


Berikutan itu, ada segelintir peminat Sang Kenari yang sudah mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi semasa pasukan dan mendesak pihak pengurusan Kedah melakukan sesuatu bagi mengembalikan aksi konsisten pasukan.

Malah di media sosial ada yang mahu pengendali dari Singapura itu dipecat dan digantikan dengan ketua jurulatih yang baru.

Terdahulu, Aidil Sharin dalam sidang media selepas perlawanan menentang KL City FC tempoh hari, menegaskan anak buahnya sudah memberikan aksi yang terbaik walaupun mereka tumpas 2-1 pada perlawanan tersebut.

Tambahnya, walaupun dengan situasi yang terpaksa dihadapinya tetapi pasukan masih berada dalam kedudukan Top 5 sudah memperlihatkan mereka berada di landasan yang tepat.

Ketika ini peminat sudah mula membuat pelbagai spekulasi terutamanya apabila bekas ketua jurulatih Kedah dan skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilihat kerap muncul dalam program bola sepak di Kedah bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor.

Selain Cheng Hoe, seorang lagi nama jurulatih yang kembali mendapat perhatian peminat Hijau Kuning adalah Ramon Marcote yang pernah menjadi jurulatih kecergasan dan ketua jurulatih pasukan itu sebelum ini.

Marcote juga dilihat masih lagi mempunyai ‘hati’ untuk bersama dengan Kedah berikutan beliau sering memuat naik foto dan video ketika beliau masih bersama pasukan dari utara itu.

Cheng Hoe dan Marcote bukanlah nama asing kerana kedua-dua mereka pernah bekerjasama sejak tahun 2015 yang mana mereka berjaya membawa Kedah ke Liga Super termasuk memenangi banyak piala.

Ketika itu, Kedah sangat terkenal dengan corak permainan ‘tiki-taka’ yang sungguh menarik dan menghiburkan, sekaligus memberikan hasil yang cukup positif kepada pasukan.

Ramai yang mahu melihat duo ini kembali bekerjasama dengan harapan Cheng Hoe dan Marcote dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Namun dengan situasi ketika ini agak mustahil untuk Marcote menjadi jurulatih kecergasan memandangkan beliau kini merupakan pengurusan pasukan  di Timur Tengah, Ethnikos Achna FC.

Mungkin satu nama lagi yang boleh diserap semula dalam pasukan iaitu jurulatih kecergasan Azmi Ibrahim yang pernah menabur bakti bersama pasukan itu sebelum dilepaskan berikutan pihak Malaysian Football League (MFL) tidak membenarkan beliau meneruskan khidmatnya kerana tidak mempunyai lesen A1 dan A2.

Bagaimanapun dalam temubual eksklusif bersama Harimau Malaya sebelum ini, Azmi telah memberitahu bahawa pada tahun ini beliau akan mengambil kedua-dua lesen itu.

Sumbangan Azmi tidak dapat dinafikan kerana ketika beliau berkhidmat bersama pasukan, pemain dapat dilihat berada dalam keadaan yang cukup cergas sepanjang 90 minit permainan.

Dengan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih, Marcote sebagai Pengarah Teknikal dan Azmi sebagai jurulatih kecergasan, Kedah mungkin bakal kembali menjadi salah sebuah pasukan gergasi di Liga Super.

Ini hanyalah cadangan kerana segala keputusan terletak di tangan barisan kepimpinan Kedah kerana jika mahu bola sepak Kedah maju, perubahan perlu dilakukan dengan segera.