India sedia ganti kekosongan ditinggalkan Indonesia di AFF, Sang Garuda tidak boleh buat pusingan U
Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) telah kembali menyuarakan hasrat mereka untuk bergabung dengan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Pada dasarnya, perkara ini telah diusulkan semenjak tahun lepas oleh badan induk tersebut namun situasi pandemik COVID-19 menyebabkan tiada tindakan susulan telah dilakukan.
Sekiranya ini benar-benar berlaku, India akan menjadi pengganti terbaik bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
PSSI sebelum ini telah menyatakan hasrat mereka meninggalkan AFF untuk menyertai Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF).
Hal ini ekoran daripada penyingkiran yang dianggap tidak adil oleh para peminat Sang Garuda terhadap skuad B-19 Indonesia pada kejohanan Piala AFF B-19 baru-baru ini.
Namun, pihak AFF telah mengesahkan tiada sebarang unsur pengaturan perlawanan telah berlaku sepanjang aksi di antara pasukan B-19 Thailand dan Vietnam.
Dalam pada itu, penyertaan pasukan kebangsaan India dilihat akan memberi impak yang cukup positif terhadap perkembangan bola sepak Asia Tenggara.
Kehadiran pasukan ini akan menambahkan lagi saingan di peringkat rantau ini yang kini didominasi oleh pasukan Vietnam dan Thailand.
Dari segi ranking, India berada di tahap yang cukup baik selepas menduduki tangga ke-104 dunia, tujuh tangga di atas pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand.
Ini akan menambahkan lagi cabaran kepada kesemua pasukan termasuk Malaysia pada kesemua kejohanan yang akan dianjurkan oleh AFF.
Prestasi semasa pasukan India di rantau Asia Selatan cukup memberangsangkan selepas mereka berjaya menjadi juara sebanyak lapan kali pada kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) yang telah mula diadakan sejak tahun 1993.
Terdahulu, mereka turut berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023 selepas mengakhiri kempen kelayakan di tangga pertama Kumpulan D di atas pasukan Hong Kong.
Lebih menakjubkan, pasukan tersebut telah memenangi kesemua perlawanan di pusingan tersebut dengan hanya satu bolos.
Ini menunjukkan kualiti pasukan tersebut yang dibarisi oleh pemain berpengalaman seperti ketua pasukan, Sunil Chhetri yang pernah beraksi di Amerika Syarikat dan Portugal.
Selain itu, populasi penduduk yang besar di negara tersebut akan turut memainkan peranan yang besar dalam menambahkan lagi kemeriahan sambutan kejohanan yang diadakan dwitahunan di samping faktor pemasaran.
Daya tarikan bola sepak yang tinggi di India akan membantu menjulang bola sepak Asia Tenggara di peringkat yang lebih tinggi.
Semoga kemasukan pasukan berkualiti seperti ini dapat direalisasikan dan boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh pasukan negara untuk terus meningkatkan kualiti permainan di masa hadapan.