Sampah ditinggalkan merata-rata dalam stadium, mentaliti sebahagian penyokong Kelantan FC masih jauh ke belakang

2,032

Sejak dibenarkan menggunakan semula Stadium Sultan Muhammad IV musim ini, penyokong Kelantan FC nampaknya semakin bersemangat untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi di tempat sendiri.

Bermula dengan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) tempoh hari, kehadiran penyokong Kelantan pada perlawanan Liga Perdana menentang Kuching City FC semalam sekali lagi amat memberangsangkan.


Penyokong Kelantan sememangnya diketahui antara penyokong yang paling fanatik di negara ini dan sentiasa menyokong pasukan mereka walaupun ketika berada di bawah.

Nampaknya aura ‘This Is Kota Bharu’ yang menjadi kebanggaan pasukan itu kembali menjelma semula setelah sekian lama.

Namun begitu, ada cerita yang kurang enak di sebalik kehadiran beribu-ribu penyokong setia yang memberi sokongan pada perlawanan itu.

Selepas perlawanan, kelihatan kawasan tempat duduk penonton dipenuhi dengan bekas makanan dan minuman yang ditinggalkan begitu saja.

Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan mencalarkan imej penyokong Kelantan secara keseluruhan

Mentaliti kelas ketiga seperti ini harus dikikis daripada bola sepak tidak kiralah sama ada kelab itu bertanding di liga porfesional mahupun liga amatur.

Kelantan ketika ini sedang mendahulu carta Liga Perdana, jadi penyokong juga harus menterjemahkan mentaliti juara yang ditunjukkan oleh pemain.

Sebelum ini, penyokong Kelantan ramai yang mendesak supaya waktu sepak mula dilangsungkan sedikit lewat berbanding pukul 4.45 petang yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) kerana cuaca terlalu panas.

MFL akhirnya meminda waktu sepak mula semalam 15 minit lebih lewat kepada pukul 5.00 petang.

Sepatutnya para penyokong menjadikan ini semua sebagai satu motivasi untuk memeriahkan lagi stadium dan menjaga peraturan serta tingkah laku di dalam stadium.

Ketika perlawanan menentang JDT II sebelum ini juga, inisiden penyokong membaling botol ke dalam stadium turut merencatkan perlawanan.

Tingkah laku seperti ini adalah tidak baik untuk reputasi kelab dan boleh menyebabkan kelab didenda.

Tidak dinafikan semangat penyokong Kelantan wajar dicontohi oleh penyokong-penyokong lain tetapi dari segi sikap, sebahagian daripada mereka masih lagi di belakang.