Pembinaan ibu pejabat baru dapat sokongan FIFA, Filipina semakin serius tingkatkan tahap bola sepak

851

Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF) baru-baru ini menyempurnakan upacara pecah tanah bagi pembinaan ibu pejabat barunya yang terletak di Carmona.

Apa yang membanggakan ialah, projek tersebut mendapat sokongan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang turut menyumbang dari segi kewangan.


Ia menunjukkan bahawa FIFA mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh PFF bagi meningkatkan lagi bola sepak negara itu serta betapa seriusnya badan itu dalam meningkatkan lagi tahap bola sepak tempatan.

Apa yang dilakukan PFF ini pastinya akan menyuntik lagi semangat skuad bola sepak Filipina untuk meningkatkan lagi mutu bola sepaknya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) awal tahun ini turut mendapat suntikan dana daripada kerajaan apabila menerima RM10 juta yang diumumkan sendiri Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

FAM dijangka akan berpindah dari Wisma FAM di Kelana Jaya ke ibu pejabat baru yang terletak di Putrajaya pada 2025.

Dengan banyak wang yang dilaburkan untuk meningkatkan lagi bola sepak negara, para penyokong pastinya mempunyai jangkaan yang amat tinggi.

Seperti PFF, FAM juga harus menunjukkan segala pelaburan yang dilakukan berjaya membuahkan hasil.

Dari segi pencapaian, apa yang dilakukan oleh PFF sememangnya membuahkan hasil dengan sejarah tercipta tahun ini apabila pasukan wanitanya layak ke Piala Dunia 2023.

Peningkatan bola sepak Filipina ini juga adalah satu perkembangan yang baik buat bola sepak ASEAN secara keseluruhan.

Dengan semakin banyak pasukan yang menunjukkan peningkatan, termasuk Malaysia, ia akan menaikkan lagi taraf bola sepak di rantau ini.

Satu hari nanti, tidak mustahil bola sepak Asia Tenggara mampu mencapai tahap sama seperti gergasi-gergasi Asia lain dengan persaingan yang semakin kuat ini.