Tidak mustahil untuk Azeem capai rekod ‘sub-10’, perlu buktikan bukan ‘one-time wonder’

2,455

Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem melakukan kejutan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun selepas memecahkan rekod 100 meter kebangsaan menerusi catatasan masa 10.09 saat pada saringan.

Pelari berusia 18 tahun itu telah memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh bekas jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.


Kejayaan ini secara langsung menutup kesedihan pelari berasal dari Bagan Datuk, Perak ini yang telah dibatalkan penyertaannya pada saringan 100 meter lelaki di Sukan SEA Hanoi Mei yang lalu.  

Kepantasan Azeem turut meletakkan beliau jauh mendahului pemenang pingat emas Sukan SEA 2021, Puripol Boonson dari Thailand yang menamatkan sebuah lagi sesi saringan dengan rekod 10.20 saat.

Lebih membanggakan, kepantasan Azeem di peringkat saringan ini turut membantu beliau mengatasi kedudukan pelari terpantas remaja Asia dari Jepun, Horoki Yanagita yang menamatkan saringan di belakang beliau dengan catatan masa 10.24 saat.

Sebagai rekod, Azeem melangkah ke kejohanan ini selaku remaja keempat terpantas di Asia menerusi rekod lamanya, 10.28 saat yang dihasilkan pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Ipoh Jun lalu.

Kejayaan yang besar pada usia yang begitu muda, Azeem dilihat mempunyai peluang yang sangat cerah untuk terus mempertingkatkan prestasi beliau di masa hadapan.

Dengan catatan masa 10.09 saat pada ketika ini, tidak mustahil untuk beliau segera memperbaiki larian dalam mencapai rekod larian sub-10 bagi mengejar pencapaian jaguh pecut Asia, Su Bingtian dari China.  

Bingtian merupakan pelari pecut Asia pertama yang berjaya mencapai rekod larian sub-10, catatan masa 9.83 saat di Sukan Olimpik Tokyo menjadikan beliau sebagai pemegang rekod terpantas di peringkat Asia buat masa ini.

Pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada pelari muda Asia seperti Azeem untuk terus berusaha mencapai kegemilangan persada antarabangsa.

Pada masa yang sama, Majlis Sukan Negara (MSN) juga perlu memainkan peranan yang cukup penting bagi terus memantau perkembangan atlet muda ini untuk memastikan beliau dapat mencapai konsistensi yang baik pada kejohanan yang lebih besar selepas ini.

Azeem juga belum boleh berasa terlalu selesa dengan pencapaian ini dan perlu terus memberi fokus sepenuhnya untuk mengembangkan potensi yang dimiliki.

Beliau seharusnya mengambil pengajaran daripada nasib yang menimpa beberapa orang atlet pecut negara yang pernah menyerlah di pentas antarabangsa seperti Khairul Hafiz dan Haiqal Hanafi.

Terdahulu, kedua-dua pelari pecut ini terus dipalit kekecewaan selepas gagal melepasi had kelayakan untuk beraksi di Sukan SEA Hanoi yang lalu.

Dalam pada itu, Azeem juga akan turun bertanding pada saingan 200 meter di kejohanan yang sama, Rabu ini.

Semua peminat sukan tanah air mengharapkan agar Azeem dapat mengekalkan kecemerlangan bagi menghidupkan peluang untuk melihat penyertaan wakil negara di kejohanan besar dunia seperti Sukan Olimpik satu hari nanti.