Malaysia ke Piala Dunia 2026! Fantasi atau mampu jadi realiti?

3,936

Format baru untuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Kelayakan Piala Asia 2027 telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin yang akan membabitkan 47 negara anggota.

Perubahan format baru itu dibuat berikutan Persekutan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengesahkan jumlah pasukan yang akan bertanding dalam Piala Dunia 2026 akan bertambah dari 32 kepada 48 pasukan.


Sebanyak 46 pasukan akan mendapat slot automatik, manakala dua lagi slot akan ditentukan menerusi pusingan play-off.

Benua Asia telah diberikan 8.5 slot dengan 8 automatik dan 0.5 merujuk kepada play-off.

Dengan perubahan format Kelayakan Piala Dunia bagi benua Asia dan penambahan pasukan telah memberi sinar harapan buat pasukan di rantau Asia Tenggara untuk mencipta sejarah dan layak ke pertandingan sukan paling berprestij di dunia ini.

Mungkin ramai yang sebelum ini merasakan Malaysia tidak mempunyai peluang langsung, namun dengan format baru ini ia telah memberi sedikit sinar harapan buat skuad Harimau Malaya untuk mencipta sejarah.

Ini kerana berdasarkan format Kelayakan Piala Dunia 2026 AFC, 25 pasukan teratas di Asia tidak akan bermain pusingan pertama – menariknya berdasarkan ranking semasa, pasukan kebangsaan berada pada ranking ke-25 Asia.

Baki 22 pasukan yang berada di kedudukan ranking 26 hingga 47 Asia akan bermain dalam perlawanan round robin (Home & Away) melalui undian yang mana 11 pasukan yang menang akan layak ke pusingan kedua kelayakan.

Untuk pusingan kedua sebanyak 36 pasukan termasuk Malaysia (jika berdasarkan ranking ketika ini) akan bermain dalam peringkat kumpulan yang akan dibahagikan kepada sembilan kumpulan.

Setiap kumpulan akan mempunyai empat pasukan dan mereka akan bermain secara round robin (Home & Away), dengan dua pasukan teratas iaitu 18 pasukan akan layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026.

Kesemua 18 pasukan yang layak ke pusingan akhir turut akan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.

18 pasukan ini kemudian akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan setiap kumpulan ada enam pasukan dan mereka sekali lagi akan beraksi secara round robin (Home & Away). Dua pasukan teratas kumpulan iaitu sebanyak enam pasukan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026.

Manakala pasukan yang berada di kedudukan ketiga dan keempat kumpulan sebanyak enam pasukan akan diundi dalam dua kumpulan yang mana mereka akan bermain secara single round robin dengan dua pasukan teratas kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026.

Tempat kedua kumpulan pula masih mempunyai peluang untuk layak dengan menghadapi satu lagi pusingan play-off untuk menentukan wakil Asia di perlawanan play-off antara benua.

Sementara itu, untuk Kelayakan Piala Asia 2027 pula, ia akan melibat pasukan yang telah kalah di pusingan pertama dan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan 10 pasukan dari pusingan pertama kelayakan akan diundi bertemu dalam perlawanan Home & Away dimana setiap pemenang akan mara ke Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Untuk Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027, ia akan membabitkan 24 pasukan yang terlibat iaitu 18 pasukan tempat ketiga dan keempat kumpulan daripada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia bersama lima pemenang kelayakan awal Piala Asia 2027 serta satu pasukan terbaik yang tewas di pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia.

24 pasukan akan diundi dalam enam kumpulan dengan empat pasukan setiap kumpulan – hanya enam juara kumpulan sahaja layak secara automatik ke Piala Asia 2027.

Jika sebelum ini peluang Malaysia untuk ke Piala Dunia gelap gelita, namun dengan aksi yang cukup memberangsangkan dan momentum ketika ini, skuad negara kini mempunyai peluang sekurang-kurangnya 20% peluang untuk layak.

Katakanlah Malaysia cipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026, kebanyakan pemain yang ada ketika ini sudah tidak mampu untuk beraksi kerana sudah berusia, jadi tindakan Malaysian Football League (MFL) membuat penstrukturan liga dengan memperkenalkan Liga Simpanan adalah satu tindakan yang cukup bagus untuk pembangunan pemain tempatan.

‘Ubi’ muda akan menjadi sandaran untuk meneruskan kesinambungan pemain ‘terdahulu’ yang telah bekerja keras untuk merealisasi impian ke Piala Dunia. Itu pun jika kita mampu layak, tapi tidak salah untuk kita memasang impian kan?

Apa yang peminat harus ingat adalah dalam dunia bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Jadi mari kita doakan agar impian untuk Malaysia layak ke Piala Dunia akan menjadi kenyataan satu hari nanti.

Mungkin seawal edisi 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada?