Kemenangan berturut-turut Sri Pahang FC di Liga Super, hadiah terbaik untuk hari gembira Dollah Salleh dan Ahmad Yusof

930

Pasukan kendalian Dato’ Dollah Salleh, Sri Pahang FC terus menampilkan aksi cemerlang selepas berjaya menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-0 di laman sendiri.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh pasukan tersebut yang sebelum ini berjaya menjinakkan Selangor FC dengan jumlah jaringan yang sama.


Kejayaan ini menjadi penamat gembira pada hari bersejarah buat Dollah dan penolong jurulatihnya, Dato’ Ahmad Yusof yang telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang.

Kedua-dua individu ini telah sekian lama menabur bakti bersama pasukan Pahang selaku pemain dan juga sebagai jurulatih.

Mereka kini berganding bahu di barisan kejurulatihan Sri Pahang dalam usaha membantu mengembalikan pasukan ke era kegemilangan yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.

Dollah yang kembali mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih pasukan Sri Pahang selepas pengunduran bekas jurulatih, Christophe Gamel telah berjaya membimbing pasukan untuk mempamer kebangkitan.

Dua kemenangan daripada tiga perlawanan selepas dilantik merupakan rekod yang cukup baik dan momentum ini perlu dikekalkan sehingga ke penghujung musim.

Tambahan pula, kehadiran legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad selaku Penasihat Teknikal turut memberi impak yang positif kepada keadaan semasa pasukan tersebut.

Fandi yang juga merupakan bekas pemain Pahang mempunyai pengalaman yang begitu luas di Liga Malaysia (Liga M) tatkala beliau pernah membimbing pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada tahun 2012.

Kerjasama antara legenda dua negara ini akan memberi kesan yang baik kepada pasukan dari Pantai Timur tersebut selepas mengharungi permulaan musim yang agak hambar sebelum ini.

Sebelum perubahan dilakukan, pasukan Sri Pahang telah dilanda kekalahan demi kekalahan sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan penyokong setia skuad Tok Gajah.

Dollah yang gemar menggunakan taktikal menyerang dilihat berjaya memanfaatkan kehadiran penyerang import dari Colombia, Steven Rodriguez yang semakin tajam di hadapan gawang lawan.

Sepanjang berada di bawah kendalian ketua jurulatih yang baru, Rodriguez telah berjaya menjaringkan empat gol dan muncul sebagai wira untuk membawa dua kemenangan berturut-turut kepada pasukan dalam saingan Liga Super.  

Pahang kini berada di tangga kesembilan selepas mengumpul empat kemenangan dari 13 perlawanan setakat ini.

Diharap sentuhan magis Dollah dapat diteruskan lagi pada aksi berikutnya menentang pasukan PJ City FC yang dijadualkan pada 9 Ogos ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Selain daripada dua jurulatih ini, ketua jurulatih Penang FC, Dato’ Zainal Abidin Hassan serta bekas jurulatih Terengganu dan Pahang, Dato’ Yunus Alif turut menerima anugerah yang sama.