Sony Norde beri bayangan mungkin ke Sabah FC, pelengkap terbaik perkuat bahagian sayap pasukan

6,554

Ketua pasukan Melaka United dari Haiti, Sony Norde memberi gambaran untuk berhijrah ke Sabah FC musim hadapan.

Namun, beliau enggan mengulas dengan lebih lanjut perkara tersebut memandangkan tempoh saingan musim ini yang masih panjang.


Sekiranya perpindahan ini benar-benar terjadi, ia akan memberi kelebihan yang besar kepada pasukan Sang Badak untuk menjadi antara pesaing utama Liga Super Malaysia 2023.

Selaku pemain paling penting pasukan Melaka, Norde dilihat mempunyai kelebihan dalam menghasilkan gerakan serangan merbahaya dari bahagian sayap.

Faktor ini akan menjadikan beliau sebagai antara kombinasi terbaik untuk digandingkan bersama pemain sayap Sabah dari Indonesia, Saddil Ramdani.

Tambahan pula, Norde yang gemar beraksi di bahagian sayap kiri telah menjadi antara penyumbang terbanyak kepada gol-gol yang dihasilkan oleh pasukan Melaka musim ini.

Setakat ini, beliau telah berjaya menyumbang sebanyak enam assist selepas 16 aksi bersama pasukan.

Gandingan dua pemain lincah ini akan menjadikan barisan serangan skuad Datuk Ong Kim Swee sebagai sebuah ancaman yang besar kepada kesemua pasukan musim hadapan.

Meskipun begitu, kemungkinan untuk melihat dua pemain ini beraksi bersama belum dapat dipastikan selepas Saddil dikhabarkan tidak akan bersama pasukan pada musim depan.  

Walaupun dengan ketiadaan Saddil, Sabah masih mempunyai kelebihan di bahagian sayap kerana mereka turut memiliki pemain import berkualiti dari Jepun, Taiki Kagayama yang mampu beraksi dengan baik di posisi tersebut.

Buktinya, beliau telah berjaya membantu pasukan mencapai dua kemenangan berturut-turut apabila diletakkan di sayap kanan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Saddil akibat kecederaan.

Kagayama, yang digelar ‘Doraemon’ oleh penyokong Sabah, juga telah mencatat nama sebagai salah seorang penjaring pada aksi menentang PJ City FC pada aksi minggu ke-13 Liga Super yang lalu.

Dalam pada itu, kehilangan Norde dilihat akan menjadi kerugian yang sangat besar kepada skuad Hang Tuah yang bergelut untuk mendapatkan kemenangan musim ini.

Selain daripada kejayaan mengikat pasukan Johor Darul Ta’zim 1-1 di Stadium Hang Jebat sebelum ini, Melaka masih lagi gagal mendapatkan konsistensi permainan yang baik untuk meletakkan mereka di kedudukan yang lebih tinggi.

Terbaru, pasukan ini turut menjadi mangsa kebangkitan luar biasa skuad Sabah musim ini selepas mereka dikejutkan dengan dua gol comeback yang dijaringkan oleh pemain veteran, Amri Yahyah untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-1.

Ketua jurulatih Melaka, Asri Ninggal perlu segera mengembalikan semangat anak buahnya untuk memperbaiki prestasi pada baki saingan musim ini.

Kelincahan Norde mengatur serangan akan terus ditagih pada perlawanan seterusnya menentang pasukan Sri Pahang FC bimbingan Dato’ Dollah Salleh pada 13 Ogos ini.