Kerjasama Bos Zam-Bibi mampu cepatkan kebangkitan Kelantan FC

6,735

Kelibat bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani telah dilihat pada perlawanan Liga Perdana di antara TRW Kelantan FC dan Kuching City FC baru-baru ini.

Lantikan Bibi selaku Presiden KAFA pada tahun 2019 mempunyai sejarah tersendiri selepas beliau menjadi wanita pertama yang diangkat untuk menggalas tanggungjawab tersebut.


Kehadiran beliau membuatkan ramai penyokong teruja tatkala ada sebahagian daripada mereka yang beranggapan bahawa akan berlakunya jalinan kerjasama di antara pemilik pasukan, Zamsaham bersama Bibi untuk memantapkan lagi Kelantan.  

Gandingan dua usahawan ini dilihat akan memberi kelebihan yang cukup besar dari segi dana untuk memperkuatkan lagi pasukan ini menjelang saingan Liga Super musim depan.

Tambahan pula, pasukan The Red Warriors sedang berada di dalam kedudukan terbaik untuk menjuarai saingan Liga Perdana musim ini selepas mengukuhkan kedudukan di takhta liga dengan sembilan kemenangan daripada 12 perlawanan.  

Pelaburan oleh usahawan batik tersebut akan terus mengukuhkan lagi struktur kewangan pasukan yang semakin baik selepas diambil alih oleh Zamsaham pada tahun 2020.

Terdahulu, Kelantan telah berjaya mencatat keuntungan yang tinggi buat pertama kali selepas diambil alih.

Pada masa yang sama, format baru Liga Malaysia musim depan akan memaksa kesemua pasukan untuk menggandakan jumlah perbelanjaan bagi menampung pelbagai kos.

Kehadiran pelabur akan mampu mengelakkan pasukan daripada berhadapan dengan pelbagai masalah yang merencatkan perjalanan liga seperti tunggakan dan pemotongan gaji yang sudah menjadi budaya dalam bola sepak di Malaysia.

Sebelum ini, Zamsaham telah menyatakan penerimaan beliau terhadap penstrukturan semula yang dilakukan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) musim hadapan.

Penambahan jumlah pasukan yang bertanding dilihat akan memberi kelebihan kepada semua pasukan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih buat jangka masa yang panjang.

Sebelum ini, pasukan Kelantan merupakan salah sebuah kelab yang pernah dihimpit masalah kewangan yang cukup berat sehingga terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan negeri serta kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Situasi ini memberi kesan yang besar kepada pasukan tersebut sehingga mereka hampir diturunkan ke Liga FAM pada musim 2019.

Walaubagaimanapun, kehadiran Zamsaham sedikit sebanyak telah membantu mengembalikan pasukan tersebut untuk berada di landasan yang baik.

Sekiranya pelaburan ini benar terjadi, tidak mustahil untuk kita melihat pasukan ini tersenarai di dalam pasaran saham pada masa terdekat.