Roadmap F:30 FAM berada di landasan tepat, pembangunan bola sepak wanita meningkat naik pada suku kedua 2022
Pada hujung tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikritik hebat apabila Pelan Strategik Roadmap F:30 FAM yang dilancarkan pada 2018 menjadi pertikaian selepas kegagalan pasukan kebangsaan di Piala AFF 2020.
Namun selepas tujuh bulan, FAM telah memuat naik laporan untuk F:30 yang menyaksikan peningkatan positif kepada 64% yang mengambil kira pencapaian berasaskan kemajuan dalam tiga teras utama iaitu Tadbir Urus, Pertandingan dan Pembangunan.
Apa yang menarik adalah peningkatan yang ketara atau drastik dalam pembangunan bola sepak wanita yang dilihat semakin mendapat perhatian FAM yang telah bertindak untuk memajukan bola sepak wanita yang sering dianaktirikan sebelum ini.
Jika sebelum ini FAM hanya menganjurkan saingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) sahaja, namun pada tahun ini mereka telah memperkenalkan saingan Liga Wanita Nasional (LWN).
Untuk memastikan penganjuran kedua-dua saingan itu hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’, FAM akan melancarkan Program Bola Sepak Wanita pada Oktober depan dengan perancangan untuk mengubah format PTSR dan LWN.
Walaupun agak sedikit lambat, namun pujian harus diberikan kepada FAM yang akhirnya turut mengutamakan pembangunan bola sepak wanita.
Ia perlu dilakukan kerana ketika ini pasukan kebangsaan sering dibarisi oleh pemain yang sama, malah ada yang bermain dengan dua pasukan iaitu bola padang dan futsal.
Dengan pembangunan bola sepak wanita dari peringkat akar umbi, negara bakal mempunyai ‘player pool’ yang banyak untuk dipilih menyarung jersi Malaysia.
Contoh yang terbaik boleh diikuti adalah negara Filipina apabila menyaksikan pasukan wanita mereka berjaya layak ke Piala Dunia Wanita.
Diharap pada tahun hadapan, FAM akan mempunyai struktur bola sepak wanita dengan lengkap supaya ia dapat dijalankan secara profesional tanpa sebarang layanan double standard.
Sementara itu, kemajuan ketara pada tempoh suku kedua 2022 ini disumbang oleh peralihan ke fasa endemik negara yang mana aktiviti-aktiviti bola sepak dibuka semula.
Baki suku ketiga dan keempat tahun ini pula FAM akan meneruskan matlamat-matlamat yang tidak dapat dimuktamadkan sebelum ini akibat pandemik COVID-19.
Malah FAM juga akan mengambil tindakan yang perlu bagi menyesuaikan pelan strategik kedua bermula tahun hadapan.