Hassan Sazali tak tolak latih skuad B-23, namun mahu selesaikan KPI layak ke Piala Asia B-20 terlebih dahulu

403

Ketua jurulatih B-19 kebangsaan, Hassan Sazali Waras tidak mahu memikirkan mengenai desas-desus namanya dikaitkan untuk menggantikan Brad Maloney sebagai ketua jurulatih B-23 negara, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada tugas beliau.

Menurutnya, beliau masih mempunyai tugasan yang belum diselesaikan bersama skuad B-19 negara, iaitu untuk layak ke kejohanan Piala Asia B-20 di Uzbekistan pada Mac 2023.


“Pada saya itu semua terpulang kepada pihak pengurusan, saya sebagai jurulatih hanya melakukan segala tugasan yang diberikan oleh mereka.

Tetapi saya masih mempunyai tugas yang masih belum selesai iaitu untuk layak ke Piala AFC B-20 tahun depan, itu sebenarnya KPI saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaubagaimanapun, Hassan tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Beliau ketika ini sedang menyiapkan pasukan B-19 untuk ke Youth International U-19 Football Tournament 2022 anjuran Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF) bermula 5 hingga 11 Ogos ini di Binh Duong, Vietnam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pemilihan ramai muka baru bagi menghadapi kejohanan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada pemain-pemain yang tidak terpilih pada Piala AFF B-19 baru-baru ini menunjukkan kemampuan mereka, seterusnya meningkatkan lagi kelompok pemain B-19.

“Semua pemain yang pernah dipanggil ada peluang untuk ke kelayakan Piala Asia B-20 September ini.

Jadi saya ingin lihat pemain mana yang kita betul-betul boleh bawa untuk menghadapi kelayakan itu.”

Hassan hanya mengekalkan enam pemain dari skuad yang menjuarai Piala AFF B-19 bulan lalu.

Sementara itu, beliau berharap kelab-kelab yang terlibat dapat memberi kerjasama untuk melepaskan pemain ketika kelayakan itu yang akan berlangsung pada 10 hingga 18 September ini di Mongolia.

Hassan berkata, beliau telah meminta Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengubah dua perlawanan terakhir Liga Perdana supaya kelab-kelab dapat melepaskan pemain mereka.