Thailand mahu turunkan skuad utama pada Piala AFF 2022, misi Malaysia merebut juara kini lebih sukar
Penyandang juara Piala AFF, Thailand sebelum ini dikhabarkan tidak akan menghantar skuad utama pada kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara tersebut hujung tahun ini sebaliknya akan diwakili pasukan B-23 bagi tujuan pendedahan dan menimba pengalaman.
Thailand dikatakan mahu menjadikan medan tersebut sebagai pentas ujian buat pemain muda mereka, manakala skuad senior akan menumpukan kepada kejohanan lebih tinggi bermula dari peringkat Asia.
Ketua pasukan Gajah Perang yang memenangi kejohanan itu awal tahun ini, Theerathon Bunmathan pernah memberi kenyataan bahawa perlawanan menentang pasukan Asia Tenggara adalah tidak berbaloi dan mahu skuad kebangsaan fokus terhadap pasukan-pasukan besar Asia.
Pemain terbaik Piala AFF 2020, Chanathip Songkrasin yang bermain untuk juara J-League, Kawasaki Frontale, juga dilaporkan tidak akan menyertai Piala AFF edisi kali ini kerana mahu berehat akibat jadual padat yang ditempuhinya tahun ini.
Namun, Presiden Persekutuan Bola Sepak Thailand (FAT), Somyot Poomoanmoung nampaknya tidak bersetuju dengan cadangan kedua-dua bintang tersebut dan tetap mahu menghantar skuad utama dalam misi menjuarai kejohanan itu buat kali ketujuh.
Ia pastinya satu berita yang kurang senang bagi negara-negara lain, termasuk Malaysia, yang mungkin sedikit gembira sebelum ini dengan keputusan Thailand untuk menghantar skuad B-23 ke kejohanan itu.
Ini bermakna, persaingan untuk merebut kejuaraan sudah pasti lebih sukar sekiranya Thailand turun dengan kekuatan sebenar.
Kejohanan Piala AFF adalah satu medan buat skuad negara mengutip sebanyak mungkin mata ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di samping beberapa perlawanan persahabatan yang akan berlangsung September ini.
Dengan slot untuk ke Piala Dunia bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dinaikkan kepada 8.5 bermula dengan Piala Dunia 2026, Malaysia dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk beraksi di kejohanan itu buat kali pertama.
Malaysia juga mengharapkan untuk memperbaiki ranking dunia FIFA bagi mendapatkan slot automatik ke pusingan kelayakan kedua Piala Dunia bagi zon Asia yang diberikan kepada pasukan di tangga pertama hingga 25.
Harimau Malaya ketika ini berada di tangga ke-26 dalam kalangan negara Asia dengan 1057.59 mata, 3.56 mata di belakang Hong Kong yang mempunyai 1061.15 mata.
Pada kejohanan Piala AFF lalu, Malaysia kehilangan 0.34 mata selepas tersingkir awal pada peringkat kumpulan.
Jadi, ketua jurulatih, Kim Pan-gon serta anak-anak buahnya harus cuba untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan selepas ini bagi meningkatkan kedudukan dunia.
Piala AFF 2022 yang berwajah baru selepas mendapat tajaan jenama terkenal Jepun, Mitsubishi Electric akan berlangsung pada 23 Disember 2022 hingga 15 Januari 2023, dengan format home dan away seperti tahun 2018 kembali digunakan.
Sebanyak 10 pasukan bertanding dan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan setiap pasukan akan bermain dua perlawanan home dan dua perlawanan away.
Format home dan away akan digunakan sehinggalah ke perlawanan akhir.