Osmera Omaro belum cukup berpuas hati dengan prestasi anak buahnya
Pasukan B-16 negara bermula dengan langkah kanan pada kejohanan Piala AFF B-16 2022 setelah memperoleh kemenangan 3-0 ke atas pasukan Kemboja pada perlawanan pertama kumpulan.
Corak permainan rapi yang berjaya ditunjukkan oleh kesemua pemain menjadi antara kunci utama kemenangan.
Namun, kemenangan selesa ini belum cukup untuk membuat ketua jurulatih, Osmera Omaro berasa cukup selesa.
“Saya gembira dengan prestasi pemain tetapi dari aspek keseluruhan, saya masih belum cukup berpuas hati.
Masih banyak yang boleh diperbaiki, saya rasa lebih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk melengkapkan kemampuan pasukan,”
katanya.
Kesemua pemain yang diturunkan pada perlawanan tersebut telah berjaya menunjukkan persefahaman yang cukup baik.
Namun begitu, masih terdapat beberapa kesilapan mudah yang perlu diperbaiki dan dielakkan pada perlawanan seterusnya.
Kemenangan ini meletakkan pasukan Malaysia di tangga teratas mendahului saingan Kumpulan C.
Selepas ini, pasukan kendalian Osmera akan dijadual bertemu dengan Myanmar pada hari Jumaat.
Osmera perlu segera merencana strategi untuk memastikan anak buahnnya bersedia menerima asakan daripada pasukan tersebut yang telah berjaya melakukan kejutan ke atas pasukan Australia pada perlawanan pertama.
Kemenangan 3-2 ke atas Australia menjadikan pasukan Myanmar sebagai antara pencabar terkuat.
“Buat masa ini, kita ada sedikit maklumat tentang Myanmar, kami akan adakan analisis yang lebih mendalam berdasarkan perlawanan pasukan tersebut dengan Australia.
Tetapi saya rasa tidak banyak perbezaan yang akan dilakukan pada perlawanan seterusnya.”