Sudah pasti setiap kejohanan yang kita sertai kita nak jadi juara – Ubaidullah Shamsul

845

Ketua pasukan skuad kebangsaan B-19, Ubaidullah Shamsul memberitahu walaupun pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan barisan kejurulatihan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan Youth International U-19 Football Tournament 2022, namun sebagai pemain beliau mahu jadi juara.

“Pihak di sebelah sana (FAM & jurulatih) tidak meletak sebarang sasaran tapi sebagai seorang pemain saya dan rakan sepasukan akan cuba pergi sejauh yang mungkin dan sudah pasti setiap kejohanan yang kita sertai kita nak jadi juara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ubaidullah merupakan salah seorang daripada empat pemain dari skuad B-19 yang berjaya menjulang Piala AFF B-19 baru-baru ini yang terpilih untuk menyertai kejohanan jemputan daripada Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF) bermula 5 hingga 11 Ogos ini di Binh Duong, Vietnam.


Menurut Ubaidullah lagi, beliau tidak merasakan keserasian akan menjadi isu buat mereka kerana kebanyakkan daripada mereka datang dari tempat yang sama iaitu dari Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Keserasian itu rasanya tiada masalah sebab semua pun datang dari tempat yang sama iaitu NFDP, jadi bagi saya kita akan buat yang terbaik.”

Ubaidullah merupakan antara pemain yang mempunyai prestasi yang cemerlang apabila beliau sebelum ini pernah berada dalam skuad B-23 di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Brad Maloney yang beraksi di Piala Asia B-23 pada Jun lalu.

Aksi cemerlang yang dipamerkan telah berjaya menarik minat ketua jurulatih skuad B-19, Hassan Sazali yang mana memperlihatkan mereka berjaya menjulang Piala AFF B-19 selepas menumpaskan Laos pada perlawanan akhir.

Dalam skuad kali ini, Hassan hanya membawa empat pemain dari skuad Piala AFF iaitu Izrin Ibrahim, Danish Irfan, Syahmi Adib dan Ubaidullah sendiri.

Kejohanan Youth International U-19 Football Tournament 2022 turut disertai oleh Vietnam, Thailand dan juga Myanmar.

Skuad Harimau Muda akan turun beraksi pada 5 Ogos ini menentang Thailand, sebelum bertemu tuan rumah Vietnam pada 7 Ogos dan mengakhiri saingan pada 9 Ogos menentang Myanmar.