Walaupun latihan singkat, Rohisham Haiqal yakin mampu beri aksi terbaik di Vietnam

798

Pemain muda negara, Rohisham Haiqal mengakui tempoh latihan untuk menghadapi kejohanan Youth International U-19 Football Tournament 2022 sangat singkat, namun ia bukan alasan buat mereka untuk tidak beri aksi terbaik.

“Ya memang tempoh latihan sangat singkat iaitu dua hari sahaja, tetapi saya dan rakan sepasukan akan beri aksi terbaik kami nanti kerana kami mahu menang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kejohanan yang akan berlangsung dari 5 hingga 11 Ogos di Binh Duong, Vietnam ini adalah jemputan daripada Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF) yang mana ia akan turut disertai pasukan Thailand dan Myanmar.


Terdahulu, Rohisham tidak tersenarai dalam skuad B-19 ke Indonesia baru-baru ini yang menyaksikan skuad Harimau Muda berjaya menjulang trofi Piala AFF B-19.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai masa yang banyak untuk berlatih bersama rakan sepasukan, namun beliau tidak berdepan masalah untuk mendapatkan keserasian.

“Saya yakin dapat sesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan corak permainan dengan cepat kerana pemain-pemain yang dipanggil kali ini juga adalah pemain yang saya sudah kenal, jadi tiada masalah buat saya dan juga rakan sepasukan.”

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalamannya menjalani sesi percubaan bersama dua buah kelab iaitu FC Annecy di Perancis dan Racing FC di Luxembourg.

Rohisham merupakan antara pemain yang pernah menyarung jersi Paris Saint-Germain (PSG) B-13 dalam Kejohanan Antarabangsa V Memorial Guiseppe Augello di Rome, Itali pada 2018 bersama seorang lagi pemain B-19 iaitu Haykal Danish.

“Di sana apa yang saya lihat adalah fizikal kita dan pemain sana berbeza dan corak permainan mereka juga cukup berbeza yang mana permainan di sana berintensiti tinggi.”

Sementara itu, Rohisham berkata walaupun pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan barisan kejurulatihan tidak meletakkan sebarang sasaran, namun beliau dan rakan sepasukan mahu menjadi juara.

“Memang kita berlatih sekejap tetapi bila sudah pergi sana kami mahu pastikan kami menang setiap perlawanan dan menang kejohanan itu.”

Pada perlawanan pertama 5 Ogos ini, anak buah Hassan Sazali akan menentang Thailand, sebelum bertemu tuan rumah Vietnam pada 7 Ogos dan perlawanan terakhir menentang Myanmar pada 9 Ogos.