Pengadil wanita Jepun terpilih ke Piala Dunia Qatar 2022, Malaysia boleh ikut jejak langkah sama lahirkan lebih ramai pengadil wanita

535

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengeluarkan laporan bagi suku kedua tahun 2022 Raodmap F:30 yang menyaksikan peningkatan ketara dalam pembangunan bola sepak wanita.

Menerusi laporan tersebut, FAM sudah mewujudkan beberapa perancangan bagi meningkatkan lagi tahap bola sepak wanita seperti penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN).


Ia adalah satu perkara yang sangat positif kerana menunjukkan FAM kini sudah semakin giat memperkasakan bola sepak wanita yang seakan-akan dianaktirikan sebelum ini.

Dengan perkembangan positif yang ditunjukkan, mungkin selepas ini Malaysia juga sudah boleh melahirkan lebih ramai pengadil wanita sendiri.

Untuk peringkat awal, mungkin boleh bermula daripada liga bawahan atau liga amatur seperti Liga M3, M4 atau M5 terlebih dahulu.

Selepas beberapa tahun, tidak mustahil akan ada lebih ramai pengadil wanita tempatan yang akan mengadili perlawanan Liga Super, Piala Malaysia atau Piala FA.

Saban tahun termasuk musim ini, isu mutu pengadilan masih lagi tidak selesai malah terdapat banyak kontroversi yang dilakukan oleh pengadil dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia.

Mungkin dengan persaingan daripada pengadil wanita, pengadil-pengadil sedia ada akan meningkatkan kualiti mereka.

Bidang pengadilan dalam kalangan wanita Malaysia agak kurang diminati tetapi negara kita sebenarnya mempunyai pengadil wanita berbakat seperti Rita Gani yang pernah dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014.

Beliau juga pernah diberi kepercayaan mengadili Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Mungkin Malaysia boleh menjadikan pengadil wanita daripada Jepun, Yoshimi Yamashita yang merupakan salah seorang pengadil bagi Piala Dunia 2022 sebagai inspirasi untuk melahirkan lebih ramai pengadil wanita.

Bagi Yamashita, edisi di Qatar itu nanti akan menjadi satu sejarah yang besar buat dirinya kerana bakal menjadi wanita pertama yang mengadili perlawanan Piala Dunia lelaki.

Beliau bersama dua orang lagi pengadil wanita, Stephanie Frappart dari Perancis dan Salima Mukansanga dari Rwanda telah terpilih dalam kalangan 36 pengadil.

Selain mereka bertiga, tiga lagi wanita turut dinamakan dalam senarai 69 pembantu pengadil bagi Piala Dunia kali ini.

Tetapi, perjalanan Yamashita untuk ke tahap itu bukanlah mudah.

Beliau yang memulakan karier pengadilannya pada tahun 2016 selangkah demi selangkah meningkatkan kualiti pengadilannya sehingga akhirnya mendapat status pengadil profesional tahun ini dan telah menandatangani kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA)

Kejayaan itu menyaksikan beliau menjadi pengadil wanita profesional pertama di negara itu.

Tahun lalu, beliau merupakan pengadil wanita pertama yang mengadili perlawanan di J-League manakala pada saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini, beliau juga mencatat sejarah sebagai pengadil wanita pertama di kejohanan itu apabila dipertanggungjawabkan untuk mengadili perlawanan antara Melbourne City FC dan Jeonnam Dragons pada 21 April lalu.

Ini adalah satu perkembangan yang positif buat bola sepak wanita yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat bola sepak.

Jurang antara bola sepak lelaki dan wanita yang selama ini amat besar kini dilihat semakin mengecil dan bola sepak kini sudah tidak lagi dianggap sebagai ‘sukan lelaki’ sahaja.