Walaupun sudah ‘berpisah’ dengan FIFA, EA Sports tiada masalah kembangkan pengaruh dalam bola sepak
Salah satu permainan video paling terkenal di dunia, FIFA tidak lagi menemui peminat dengan judul baru bermula tahun depan selepas syarikat yang membangunkannya, EA Sports dilaporkan tidak mencapai kata sepakat bersama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai urusan perlesenan.
Ini bermakna, FIFA23 yang bakal dilancarkan September ini akan menjadi edisi terakhir kerjasama antara kedua-dua pihak sebelum ia bertukar nama kepada EA Sports FC.
Walaupun sudah tidak mempunyai ‘ikatan’ bersama badan induk bola sepak dunia itu, EA Sports tetap giat meluaskan pengaruhnya dalam dunia bola sepak.
Selain mengadakan kerjasama bersama kelab-kelab bola sepak di seluruh dunia, EA Sports secara rasminya akan menjadi penaja utama bagi salah satu liga terbesar di dunia, La Liga bermula musim 2023/24.
Menurut laporan, tajaan tersebut bernilai €200 juta (RM907.5) dalam tempoh lima tahun dengan penjenamaan semula La Liga bersama EA Sports termasuk semua logo, grafik, tulisan dan elemen visual lain.
Liga tersebut yang dikenali dengan nama La Liga Santander mungkin akan berubah kepada La Liga EA Sports.
Ini membuktikan walaupun ia gagal meneruskan kerjasama dengan FIFA, EA Sports tetap tidak berputus asa dan cuba mencari di mana saja peluang untuk terus kekal relevan dalam dunia bola sepak.
Syarikat itu juga sudah mempunyai berjuta-juta pengikut yang setia daripada edisi pertama permainan video FIFA, jadi pengaruh mereka dalam bola sepak sememangnya amat besar.
EA Sports juga tidak mempunyai masalah untuk menerbitkan permainan bola sepak dengan nama lain dan dilaporkan sudah mempunyai lesen untuk menggunakan nama lebih 19,000 pemain, lebih 700 pasukan, lebih 100 stadium dan lebih 30 liga seluruh dunia termasuk Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga, Serie A, Major League Soccer dan banyak lagi.
Selain itu, EA Sports juga berjaya mendapatkan komitmen daripada UEFA, Conmebol dan Nike untuk terus bersama mereka dalam EA Sports FC.
Jelas EA Sports, mereka tidak begitu terkesan walaupun ‘ditinggalkan’ oleh FIFA dan terus kukuh dalam dunia bola sepak.
Bagi peminat permainan video FIFA pula, pasti ramai yang tidak sabar untuk menunggu EA Sports FC dilancarkan tahun depan.