Tindakan Bos Zam terus julang pasukan TRW Kelantan FC jadi pasukan yang hebat dalam dan luar padang

4,150

Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi nasihat kepada kesemua pemainnya untuk mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi pada setiap perlawanan.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Zamsaham ingin memastikan pemain pasukan tersebut tidak telalu leka dan selesa dengann kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana ketika ini.


Di era bola sepak moden ini, kita dapat lihat pemain sering melakukan simulasi di atas padang untuk mendapatkan kelebihan yang besar dalam memenangi suatu perlawanan.

Lebih buruk, ada segelintir daripada pemain yang sengaja menggunakan taktik kotor ini untuk melengahkan permainan tatkala pasukan mereka mendahului perlawanan.

Tindakan ini terus menghakis integriti dalam sukan yang menjadi kunci utama kepada kejayaan mana-mana pasukan.

Justeru itu, nasihat yang diberikan oleh Zamsaham perlu dijadikan contoh kepada pemain pasukan lain untuk memastikan saingan Liga Malaysia terus sihat dan tidak dicemari dengan insiden-insiden yang negatif.

Pada masa yang sama, Zamsaham bukan sahaja menitikberatkan hal di dalam padang, sebaliknya beliau turut mementingkan reputasi pasukan di luar padang.

Sebelum ini, tular beberapa visual tentang keadaan Stadium Sultan Muhammad IV yang dipenuhi dengan sampah selepas tamat perlawanan Liga Perdana menentang pasukan Kuching City FC.

Ini jelas mendukacitakan tatkala gelanggang keramat tersebut telah diberikan nafas baru setelah melalui proses naik taraf yang menelan perbelanjaan sebanyak RM5.5 juta.

Beliau menggesa kesemua penyokong The Red Warriors untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab dalam menjaga keadaan stadium agar bebas daripada sebarang sampah pada setiap perlawanan.

Meskipun bergelar seorang usahawan yang hebat, Zamsaham tetap berjanji akan mengambil tanggungjawab sendiri untuk terus memantau keadaan stadium pada setiap perlawanan selepas ini.

Ini jelas menunjukkan kredibiliti yang dimiliki oleh pemilik berusia 41 tahun tersebut dalam memastikan pasukan Kelantan menjadi kelab yang cukup hebat di dalam dan luar padang.

Selepas mengambil alih pasukan, pelbagai perubahan telah berjaya dibawa oleh beliau kepada pasukan pantai timur ini.

Zamsaham berjaya membina kembali pasukan ini untuk berada di landasan terbaik bagi menjuarai saingan Liga Perdana musim ini selepas berapa musim pasukan berhadapan dengan masalah kewangan yang teruk dan memalukan.

Sumbangan beliau terhadap pasukan berjaya mengembalikan aura yang pernah dimiliki oleh pasukan Kelantan sebelum ini sebagai salah sebuah pasukan yang hebat di Malaysia.

Diharap akan ada perubahan dari segi sikap peminat pada perlawanan liga selepas ini menentang skuad Projek FAM-MSN susulan daripada seruan yang dilakukan oleh pemilik pasukan.

Perkara ini turut menjadi masalah yang besar kepada semua pasukan di Liga Malaysia sejak berkurun lama, perubahan perlu dimulakan segera bagi budaya ini dapat terus dihakis di masa hadapan.