Tiada lagi spekulasi Sabah, Brad Maloney pilih kembali ke negara kelahiran selepas lapan tahun

1,515

Bekas ketua jurulatih pasukan B-23 negara, Brad Maloney telah dilantik menjadi pengendali pasukan B-17 Australia yang baru.

Berita itu sekaligus menafikan khabar angin sebelum ini yang mengaitkan kemungkinan beliau akan bersama dengan pasukan Sabah FC musim depan sebagai penolong ketua jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee.


Selepas dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Maloney tidak menerima mana-mana tawaran rasmi dari kelab di Liga Malaysia.

Kini, beliau akan kembali ke negara kelahirannya selepas berkelana ke Malaysia selama lapan tahun untuk bersama FAM bermula pada tahun 2014 sebagai pembantu jurulatih untuk skuad B-23 negara.

Sepanjang bersama FAM, Maloney juga pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih untuk skuad utama negara sebelum menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad B-23 Malaysia.

Antara kejayaan beliau bersama pasukan B-23 adalah membawa pasukan Harimau Muda melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2022 yang berlangsung di Uzbekistan sebelum ini.

Maloney cukup dikenali sebagai antara individu penting dalam proses pembangunan pemain muda negara.

Beliau pernah menggalas tanggungjawab membimbing pasukan B-19 negara selepas bekas jurulatih, Bojan Hodak membuat keputusan meninggalkan jawatan tersebut.

Maloney berjaya membimbing skuad tersebut untuk menjadi naib juara kejohanan Piala AFF B-19 pada tahun 2019 selepas tewas tipis di perlawanan akhir kepada Australia.

Selepas ini, beliau akan terus mengambil tanggungjawab yang sama untuk membantu pembangunan pemain muda di Australia.

Tugas Maloney bersama Australia akan bermula Oktober ini pada saingan kelayakan Piala Asia B-17.

Pasukan B-17 Australia telah diundi bersama pasukan China, Cambodia dan Kepulauan Mariana Utara pada pusingan kelayakan.

Tugas yang lebih besar menanti pengendali berusia 50 tahun itu untuk memastikan pasukan The Joeys menempah tiket ke Piala Dunia B-17 2023 yang akan diadakan di Peru.

Pengalaman luas Maloney melatih skuad muda telah menarik minat Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) untuk turut melantik beliau sebagai pembantu kepada ketua jurulatih B-20 Socceroos, Trevor Morgan.

Pada masa yang sama, FAM sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan tentang pengganti yang akan mengambil alih tugas ditinggalkan oleh Maloney di barisan kejurulatihan B-23 negara.

Besar harapan daripada semua peminat untuk melihat jurulatih yang dipilih selepas ini dapat menerapkan corak permainan yang berkualiti dan mampu memperbaiki kekurangan pasukan ini.