Masa depan Azeem Fahmi, kekal berlatih dalam negara atau keluar cari pendedahan di luar?
Pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi telah berjaya mempamerkan aksi yang cukup cemerlang di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Colombia.
Susulan dari kejayaan ini, terdapat perbincangan dari pelbagai pihak tentang masa depan pelari muda tersebut.
Ada antara mereka yang melihat latihan di luar negara sebagai tindakan yang tepat untuk membantu meningkatkan kualiti atlet tersebut.
Tambahan pula, kejayaan beliau memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas membuka peluang untuk beliau melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Amerika Syarikat mungkin menjadi destinasi terbaik sekiranya Azeem membuat pilihan untuk berlatih di luar negara.
Bekas pelari negara, Nazmizan Mohamad pernah mencadangkan agar kesemua pelari pecut berpotensi dalam negara untuk dihantar ke University of Minnesota bagi menjalani sesi latihan jangka masa yang panjang di sana.
Kelebihan dari segi bio-mekanikal serta proses pemulihan segera yang dimiliki mungkin membantu mempercepatkan lagi proses peningkatan Azeem untuk menjadi seorang pelari pecut yang digeruni lawan.
Pada masa yang sama, banyak institusi pendidikan di negara tersebut yang bersedia menawarkan biasiswa kepada atlet-atlet yang ingin melanjutkan pelajaran di sana.
Amerika Syarikat merupakan antara negara yang berjaya menghasilkan beberapa atlet pecut terkenal seperti Tyson Gay dan Michael Johnson.
Ini membuktikan bahawa corak latihan dan pendedahan yang diberikan di negara tersebut berjaya menghasilkan kumpulan pelari pecut yang berkualiti dan mampu mencapai rekod larian sub-10.
Namun begitu, Azeem tetap mempunyai banyak kelebihan sekiranya beliau lebih memilih untuk kekal berlatih di dalam negara.
Keserasian yang dibina selama enam tahun bersama jurulatih, Amir Izwan telah banyak menyumbang kepada kecemerlangan beliau sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada masa yang sama, kebanyakan negara kini lebih memilih untuk kekal berlatih di negara masing-masing.
Hal ini kerana, suasana lebih selesa di tempat sendiri yang dirasakan oleh para pelari akan menyebabkan mereka tidak terganggu dengan keadaan sekeliling dan membantu untuk memberikan fokus yang lebih kepada sesi latihan.
Situasi ini diakui sendiri oleh bekas jaguh pecut Jamaica, Asafa Powell yang lebih gemar berlatih di negara kelahirannya.
Azeem telah berjaya menggegar pentas dunia menerusi catatan 10.09 saat yang dilakukannya dalam acara 100 meter sebelum ini meskipun hanya melakukan latihan di bekas sekolahnya, SMK Gunung Rapat.
Rekod tersebut telah memadam rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang oleh seorang lagi atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan (10.18 saat) di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada tahun 2016.
Justeru itu, dilihat tiada masalah besar untuk beliau terus meningkatkan kualiti lariannya walaupun terus kekal berlatih di Malaysia.
Menerusi program latihan yang tepat ditambah dengan pendedahan yang lebih banyak, pelari berusia 18 tahun ini dijangka akan terus menggegarkan arena pecut antarabangsa di masa hadapan.
Selepas memperoleh tempat ke-5 pada saingan akhir 100 meter sebelum ini, Azeem telah menamatkan perjuangan di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 tahun ini selepas gagal melayakkan diri ke pusingan akhir acara 200 meter.
Bagaimanapun, Azeem turut berjaya memperbaiki rekod peribadi beliau dalam acara 200 meter selepas mencatatkan 20.83 saat pada saringan ketiga.
Para peminat akan terus mengharapkan agar beliau dapat mengekalkan konsistensinya pada kejohanan yang akan datang.
Azeem selepas ini akan menggalas tugas berat untuk menyaingi kehebatan pelari berusia 16 tahun yang semakin meningkat naik daripada Thailand, Puripol Bonsoon yang kini menjadi antara pelari terpantas Asia Tenggara.
Pada temasya Sukan SEA Hanoi, beliau berjaya menggondol tiga pingat emas menerusi acara 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter.
Beliau juga telah berjaya memecahkan rekod Sukan SEA yang juga dipegang olehnya dalam acara 200 meter, selepas menamatkan saingan di Qosanov Memorial Kazakhstan dengan rekod 20.19 saat, 0.18 saat mengatasi pencapaian beliau di Sukan SEA Hanoi dengan 20.37 saat.
Azeem perlu terus bekerjasama dengan jurulatihnya dalam mencari rentak larian yang akan membantu beliau mengatasi lawan tersebut untuk mendominasi saingan di peringkat Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum mengimpikan kejayaan yang lebih besar di peringkat tertinggi dunia.