Pemain IFC teruja berpeluang ke Liga Super, motivasi untuk jadi juara Liga M3 musim ini

284

Pemain pasukan Imigresen FC (IFC), Safwan Samsol melihat rombakan liga musim depan sebagai satu perkara yang baik untuk beliau dan pasukan.

Tambahan pula, ini merupakan peluang sekali dalam seumur hidup untuk seorang pemain amatur seperti beliau.


”Bagi saya peluang layak ke Liga Super adalah sebuah peluang keemasan untuk pemain amatur merasa bermain di liga tertinggi di Malaysia.

Saya harap pemain yang ada akan terus bekerja keras untuk pasukan demi lencana di dada,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh penjaring terbanyak pasukan, Firdaus Aziziul yang teruja dengan peluang dimiliki oleh pasukannya untuk melangkah ke liga tertinggi di Malaysia.

Kerjasama dan persefahaman yang telah terjalin bersama rakan sepasukan yang lain membuatkan Firdaus yakin terhadap kemampuan kelab ini meskipun akan berhadapan dengan pasukan yang jauh lebih hebat.

“Saya berasa sangat teruja untuk rakan-rakan lain yang tidak pernah merasa bersaing di liga yang lebih tinggi.

Kalau ikut komitmen dari rakan sepasukan, kami dilihat bersedia untuk menghadapi saingan di Liga Super.”

Selain daripada kemasukan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris di pertengahan liga, pihak pengurusan IFC juga telah berjaya merangka strategi yang baik dengan membawa masuk beberapa orang pemain pinjaman dari pasukan Liga Super.

Antaranya adalah pemain KL City FC, Azhar Apandi serta pemain tengah Penang FC, Aliff Romli.

“Ini merupakan sebuah pasukan yang baru tetapi pihak pengurusan bertindak dengan sangat baik untuk segera memperbaiki kekurangan pasukan sehingga membantu kami layak ke suku akhir.

Bagi saya tiada perbezaan di antara pemain amatur atau pemain berpengalaman, kesemua mereka memberikan komitmen yang cukup baik kepada pasukan.”

Ketajaman Firdaus di bahagian hadapan akan terus ditagih pada aksi suku akhir menentang Harini FT dalam usaha untuk memastikan misi layak ke perlawanan akhir dapat dicapai.

Terdahulu, pemain tinggi lampai ini telah memainkan peranan yang cukup penting pada dua perlawanan terakhir pasukan yang berjaya dimenangi dengan jumlah jaringan yang cukup besar.

Lebih manis, Firdaus berjaya memperoleh hatrik pada aksi menentang Tun Razak City FC yang berkesudahan dengan 9-0.